Timbalan Mursyidul Parti Islam Semalaysia (PAS), Datuk Ahmad Yaakob bercakap pada Majlis Perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS sempena Muktamar PAS kali ke 63 di Sekolah Rendah Darul Ulum, Tandop, Kedah. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2017.

ALOR SETAR – “Tidak ada guna Pas menjatuhkan kerajaan sekular nasionalis sekarang, kalau pengantinya adalah kerajaan sekular sosialis,” kata Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob.

Merujuk kepada parti komponen Melayu dalam Pakatan Harapan (PH), Pesuruhjaya Pas Kelantan itu berkata, parti sekular sosialis lebih bahaya daripada kerajaan sekular nasionalis iaitu Barisan Nasional (BN).

Pada dasarnya, ujar beliau, Pas sudah bersedia untuk mengambil alih kerajaan Malaysia sekaligus menjadi penganti kepada kerajaan sekarang.

“Lebih 60 tahun kita berjuang dan inilah masanya untuk kita ambil alih Malaysia dari kerajaan sekular nasionalis.

“Tetapi, sudahkah kita bersedia ke arah itu? Bagaimana kalau berlaku sebaliknya, iaitu kerajaan sekular sosialis yang mengambil alihnya?

“Walaupun rakyat sudah menerima perjuangan Pas, namun kita bimbang jatuhnya kerajaan sekular nasionalis, diganti pula kerajaan sekular sosialais. Kalau ini berlaku, Pas terpaksa ambil masa 60 tahun lagi untuk jatuhkan kerajaan sekular sosialis,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak Pas Pusat di Sekolah Rendah Islam, Darul Ulum, dekat sini, hari ini.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berharap, seluruh kepimpinan dalam Pas termasuk Dewan Ulamak, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda membuat persediaan secukupnya mengikut keupayaan yang ada bagi menjadi pengganti kepada kerajaan sekarang.

Katanya, Pas kini berdepan dengan dua musuh utama iaitu kuffar dan Islam liberal yang menjalankan visi ekstrem serta tunduk kepada agenda barat.

“Mereka melakukan serangan terhadap institusi ulamak yang menjadi teras gerakan parti Islam.

“Ulamak seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dihina dan diperlekehkan. Mereka mencipta persepsi bahawa ulamak adalah kolot dan bersengkokol dengan kezaliman pemerintah (BN) yang mendapat habuan kebendaan.

“Apabila ada kebencian masyarakat kepada ulamak, senanglah mereka dapat merungkai Islam dari anutan umatnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.