Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersalaman dengan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Ayoob Khan Yaakob dengan disaksikan oleh sebahagian pengusaha India Muslim pada pertemuan yang diadakan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 27 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Isu kenyataan kontroversi Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung dakwaan pemilik restoran India Muslim menaikkan harga makanan susulan penarikan subsidi gula serta tepung berjaya diselesaikan secara baik.

Menteri Wilayah Persekutuan itu menjelaskan, kenyataannya sebelum ini sebenarnya tidak merujuk kepada pemilik restoran India Muslim sahaja sebaliknya semua pemilik restoran termasuk Melayu, Cina dan India.

“Saya minta semua pemilik restoran ini bantu kerajaan agar pastikan harga makanan dan minuman tidak dijual kepada masyrakat terlalu tinggi.

“Pada masa sama, pemilik restoran India Muslim juga telah menyuarakan masalah di Kuala Lumpur apabila kadar sewa terlalu tinggi selain berdepan masalah pekerja.

“Jadi sebagai pihak berkuasa tempatan di ibu kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedia membantu mereka seperti memberi diskaun cukai pintu dan lesen agar mereka dapat pulangkan balik kepada masyarakat.

“Jadi saya hendak rayu kepada semua pemilik restoran dapat bantu kerajaan semula selepas diberi pelbagai kemudahan agar rakyat di bandar tidak tertekan dengan kos kehidupan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang diketuai presidennya, Ayoob Khan Muhamad Yakub.

Turut hadir beberapa persatuan India Muslim lain seperti Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) dan Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (Mimcoin).

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bercakap ketika mengadakan pejumpaan dengan pengusaha-pengusaha India Muslim di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 27 APRIL 2017
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bercakap ketika mengadakan pejumpaan dengan pengusaha-pengusaha India Muslim di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 27 APRIL 2017

Menjawab soalan isu tersebut telah menjadi kes polis selepas beberapa pertubuhan kerajaan (NGO) membuat laporan, Tengku Adnan memberitahu, beliau tidak bimbang walaupun ada pihak menegurnya dengan menggunakan hukum agama dan mengeluarkan fatwa.

Jelasnya, sebagai orang Islam, beliau sedar tentang hukum dan hanya mengeluarkan kenyataan berdasarkan apa yang dipelajarinya.

“Yang tuduh saya itu, saya tidak mahu kata apa-apa. Saya ambil semua teguran dengan niat yang baik

“Malah tiada secebis gusar dan marah serta kesangsian terhadap pemilik restoran India Muslim yang rata-rata semua rakan saya. Yang penting, kita berbalik untuk tolong rakyat sahaja,” katanya.

Baru-baru ini, kontroversi tercetus apabila beliau mengeluarkan kenyataan hendak ‘membaling cawan ke muka pemilik restoran India Muslim’ kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik restoran itu menaikkan harga teh tarik dan roti canai.

Ketika itu,  Ahli Parlimen Putrajaya itu mewakili Perdana Menteri berucap pada Perhimpunan Agung Kimma ke-40 dan mengulangi kenyataan pada Sambutan Tahun Baharu Tamil.

Kenyataan itu mendapat kritikan gabungan NGO terdiri Presma, Permim, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) serta Liga Muslim Pulau Pinang.

Mereka terkilan dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO itu yang juga dikenali sebagai Ku Nan dengan menyifatkan ia tidak berasas selain menyakitkan hati masyarakat India Muslim.

Keadaan menjadi runcing apabila tujuh NGO membuat laporan polis terhadap Tengku Adnan.

Laporan dibuat oleh Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), ,MIM, PELlTA, PREMUS, PEBAKTIM, GEGAS, ARC, REFORMIS, KIPIDAP dan MAM’S di Balai Polis Dang Wangi di sini baru-baru ini  – MalaysiaGazette