Mangsa ditemui tertiarap tidak bernyawa di hadapan pintu rumah pekerja Ladang Estate Belenggu Hall, Mentakab pada 9.05 pagi Isnin.

TEMERLOH – Seorang pekerja ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dakwaan membunuh rakan sekerja dalam kejadian yang didakwa berpunca kerana mangsa masak tidak sedap.

Mohamad Rosli Naqur Gani, 35, yang berasal dari Perak dengan tenang menyatakan dia faham akan pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Tertuduh didakwa membunuh R Devadas, 60, antara 1.50 hingga 11.20 pagi, 17 April lalu di rumah tidak bernombor di Estet Chuan Leng Rubber Estate, Belengu Halt, Mentakab dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan pihak pendakwaan dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Najwa menetapkan 1 Jun ini sebagai sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan laporan kimia dan laporan perubatan.

Pada 17 April lalu, media melaporkan seorang pekerja ladang, maut dibunuh rakan serumahnya selepas suspek menegur mangsa yang dikatakan memasak secara tidak bersih dan tidak sedap.

Teguran itu didakwa menyebabkan mangsa tidak berpuas hati dan dalam perselisihan itu, mangsa ditendang, ditumbuk dan dipukul dengan menggunakan kayu dan parang sebelum mayatnya ditemui tertiarap di hadapan pintu bilik rumah itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast