KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati satu sampel jenama Pure Stevia keluaran syarikat VJS Cosmo Enterprise langsung tidak mengandungi stevia.

Lantaran itu KKM mengarahkan syarikat terlibat supaya menarik balik produk tersebut daripada pasaran dan tindakan mahkamah akan diambil ke atas syarikat berkenaan di bawah Akta Makanan 1983.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian itu akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk stevia.

“Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil serta pengguna akan dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette