Muktamar yang menjadi penentu kedudukan Pas Selangor

ALOR SETAR – Tiga sayap Pas masing-masing bersidang hari ini tanpa menyaksikan pertandingan jawatan utama untuk sesi 2017-2019.

Pembersihan daripada perebutan jawatan dilakukan perwakilan Pas pada tahun 2015 di Kuala Selangor dengan menyapu bersih golongan profesional dan liberal dalam parti itu.

Pada pemilihan kali ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kekal dengan jawatan asal sebagai presiden dan timbalan presiden.

Begitu juga Datuk Dr. Mahfodz Mohamad, Datuk Dr. Nik Zawawi Mohd. Salleh dan Datuk Dr. Johari Mat kekal sebagai Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Ulamak Pas (DUPP).

Persidangan sesi ini juga turut menyaksikan Nurdah Salleh, Dr. Rosni Adam dan Salamiah Mohd Noor menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Muslimat Pas (DMPP).

Bagaimanapun berlaku sedikit perubahan dalam carta organisasi jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) apabila Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengundur diri untuk memberi laluan kepada Muhammad Khalil Abdul Hadi sebagai ketua diikuti Khairil Nizam Khiruddin (timbalan ketua) dan Ahmad Fadhli Shaari (naib ketua).

Ketiga-tiga barisan baru pemimpin Dewan Pemuda ini menang tanpa bertanding tanpa dicabar selepas tamat tempoh penerimaan calon pada 17 April lalu.

Pertandingan hanya berlaku di peringkat perebutan jawatan Naib Presiden dan barisan Ahli JawatanKuasa DUPP, DMPP dan DPPP.

Hanya seorang pencabar menawarkan diri bertanding merebut jawatan Naib Presiden, iaitu Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan manakala Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan menarik diri daripada senarai pencalonan pada 11 April lalu.

Penyandang Naib Presiden Pas yang akan mempertahankan jawatan itu ialah Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Sama ada ketiga penyandang ini kekal atau berlaku perubahan salah seorang daripada mereka, akan ditentukan oleh kira-kira 1,200 perwakilan pada 29 April hingga 1 Mei ini.

Muktamar Pas Pusat ke-63 diadakan di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, Kedah dari 27 April hingga 1 Mei ini akan memilih barisan kepimpinan baharu untuk sesi 2017-2019.

Ini adalah muktamar terakhir, sebelum diadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dijangka diadakan sebelum akhir tahun ini.

Antara perubahan yang dilaksanakan Pas bagi muktamar ini ialah menetapkan peraturan calon yang layak bertanding perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 10 pencalonan berbanding sebelum ini hanya dua.

Muktamar kali ini juga disebut-sebut juga menjadi persidangan yang menentukan sama kedudukan Pas Selangor dalam kerajaan Pakatan Harapan di negeri itu.

Ini kerana, beberapa pemimpin Pas sendiri, sama ada di peringkat Selangor mahu pun pusat berjanji akan memberi kata putus hubungan tahaluf siyasi Pas Selangor dengan PKR Selangor.

Keputusan muktamadnya hanya diketahui dalam Ucapan Dasar Presiden Pas pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette