SUBANG – Selepas membuat lawatan mengejut menggunakan kenderaan pacuan empat roda Rabu lalu, seramai 10 petugas media dibawa membuat tinjauan dari udara ke Paya Indah Wetlands dengan menaiki dua buah helikopter dari Subang Skypark Terminal, di sini, hari ini.
Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengetuai tinjauan udara itu mahu memberi peluang kepada petugas media untuk melihat gambaran sebenar kemusnahan alam sekitar di kawasan tadahan hujan itu.
Dalam tinjauan udara hampir sejam itu, Jamal membawa media ke lokasi utama yang telah menyebabkan beberapa kawasan paya terjejas teruk, lebih-lebih ia bersebelahan dengan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (NSECL) atau Lebuhraya ELITE.
Ia merupakan siri lawatan mengejut kedua Jamal ke lokasi berkenaan selepas membuat pendedahan pertama projek tersebut pada Rabu lalu di mana pembangunan itu mendapat restu daripada Kerajaan Negeri Selangor tanpa menghiraukan alam sekitar.
Lawatan itu turut memperlihatkan beberapa jentera berat sedang giat melakukan kerja-kerja penambakan tanah di kawasan paya berkenaan dan ia menyebabkan kawasan hijau semakin berkurangan.
Penambakan paya tanpa kawalan dikhuatiri akan mengundang bencana banjir dan takungan air tidak dapat mengalir dengan baik ke sungai-sungai berdekatan susulan limpahan air kerap berlaku setiap kali musim hujan.
Selain itu, tinjauan udara itu juga mendapati terdapat sebuah kapal korek sedang beroperasi di kawasan paya berkenaan.
Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, jika kerja-kerja penerokaan itu tidak dihentikan segera, ia dikhuatiri akan mengancam ekosistem hidupan liar seperti burung akan bertandang ke paya berkenaan di pada waktu senja. – MalaysiaGazette