Home Nasional Kakitangan, pelajar Madrasah Tahfiz Al Jauhar sudah jalani pemeriksaan

Kakitangan, pelajar Madrasah Tahfiz Al Jauhar sudah jalani pemeriksaan

Madrasah Tahfiz Al Jauhar

KOTA TINGGI – Pengetua madrasah tahfiz, tempat Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi belajar sebelum ini, mengesahkan Jabatan Kesihatan sudah membuat pemeriksaan kesihatan ke atas kesemua 107 pelajar dan 14 kakitangan madrasah itu.

Afdhaluddin Ismail dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata pemeriksaan dilakukan pada Rabu lepas.

“Laporan pemeriksaan tersebut akan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan. Buat masa ini tiada pelajar yang dirujuk ke hospital,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat memberitahu, Jabatan Kesihatan telahpun memeriksa sejumlah pelajar di madrasah berkenaan bagi memastikan tiada mereka yang mengalami simptom sama seperti Mohamad Thaqif Amin.

Pemeriksaan itu diadakan susulan titah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang mahukan pelajar lain menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mohamad Thaqif Amin, yang dipotong kedua-dua kaki hingga paras paha akibat dijangkiti kuman setelah dipercayai didera oleh pembantu warden madrasah itu meninggal dunia pada kira-kira 2 petang Rabu di Hospital Sultan Ismail.

Jenazah Allahyarham Mohamad Thaqif Amin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur pada kira-kira 12.30 malam hari sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast