MANCHESTER – Dua jiran, Manchester United City terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang berlangsung awal pagi tadi.
Keputusan menyaksikan dua kelab itu kekal di tangga keempat dan kelima liga namun kekurangan satu perlawanan dengan Liverpool di tangga ketiga.
Sementara itu, perlawanan tersebut berlangsung panas apabila pemain tengah United, Marouane Fellaini dibuang padang selepas dilayangkan kad merah oleh Martin Atkinson kerana menanduk Aguero enam minit sebelum tamat permainan.
Insiden itu berlaku apabila Aguero dilihat menghampiri pemain kelahiran Belgium itu selepas tidak berpuas hati dengan kekasaran yang dilakukan bintang Manchester United itu.
Pengurus Jose Mourinho pantas menyalahkan penyerang City itu kerana menjadi punca kepada insiden tersebut.
Mourinho mengakui beberapa daripada kesalahan Fellaini tetapi menambah Aguero bijak untuk mengeksploitasi insiden berkenaan.
“Saya tidak menonton insiden itu di televisyen tetapi telah bertanyakan hal itu dengan Fellaini,” katanya kepada Sky Sports.
“Dia akur dengan layangan kad itu begitu juga pengadil yang mengakui tindakannya tepat.
“Namun bagi saya, ia perkara kecil yang dicetuskan oleh pemain Argentina yang bijak membuat provokasi,” katanya. – MalaysiaGazette