Afyan Mat Rawi pada sesi temubual di Selayang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 28 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Tidak serik, itu adalah ungkapan yang boleh diberikan terhadap ‘Norscammer’, pengasas sebuah syarikat dikenali sebagai Alfafa Group yang masih berterusan menipu orang ramai.

Pada 15 Februari 2017, ‘Norscammer’ kalah dalam satu kes saman pemula yang dibawa Alfafa terhadap seorang penasihat kewangan, Afyan Mat Rawi tetapi mereka kalah dalam kes yang dibicarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta diarahkan membayar RM10,000 namun hampir sebulan lebih belum ada bayaran dibuat.

Lebih malang lagi, ‘Norscammer’ tidak insaf dan mengubah strategi skimnya itu.

Afyan berkongsi pengalaman tentang tindakan saman yang dihadapinya hanya semata-mata kerana membuat pendedahan berhubung penipuan oleh ‘Norscammer’ dan syarikat Alfafa ini sejak tahun 2015 lagi.

“Pada mulanya Alfafa saman fitnah saya pada 26 Ogos 2015 dengan mengatakan saya membuat tuduhan tidak benar terhadapnya. Tapi saman yang dibuat tidak diteruskan dan ditarik balik.

“Tapi kemudiaannya, selang setahun selepas itu kononnnya untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa Alfafa bukan sebuah skim penipuan seperti yang saya dedahkan, ‘Norscammer’ ini masih tidak berpuas hati dan menghantar saman pemula dan kes ini dibicarakan,” kata Afyan semasa ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya di Batu Caves.

BACA: Norscammer muncul kembali, guna masjid cari mangsa

Menurut Afyan, Alfafa membuat tuntutan menerusi saman itu kepadanya supaya mendedahkan di mahkamah pihak yang memberinya maklumat berhubung aktiviti dan cara operasi Alfafa dalam setiap urus niaga mereka.

“Ini memang kes unik, apabila scammer saman saya sebab buat pendedahan skim penipuan dia. Saya lawan scammer tapi saya yang kena saman,” kata Afyan.

Afyan kemudiaan tidak berpuas hati walaupun syarikat Alfafa tersebut sudah gulung tikar dan tidak membuat sebarang pembayaran seperti diputuskan mahkamah baru-baru ini, ‘Norscammer’ membuat kemunculan semula baru-baru ini di Puncak Alam tapi menggunakan modus operandi yang berbeza.

“Dia ini memang tidak serik, sudah lah belum bayar RM10,000 yang diperintahkan mahkamah, kini muncul semula untuk terus menipu orang ramai lagi.

“Norscammer nampaknya tukar strategi, caranya menipu masih sama. Beliau menyedari kesnya sudah terkenal dalam internet dan Facebook, kini dia guna kaedah konvensional dengan turun bertemu dengan orang untuk melakukan penipuannya,” terang Afyan.

Baru-baru ini, ‘Norscammer’ membuat kemunculan di Puncak Alam tetapi berjaya dihalang oleh seorang individu bernama Khairul Ezuwan yang juga bersama Afyan sebelum ini menentang dan membuat pendedahan mengenai skim penipuan Alfafa.

Menceritakan pengalamannya dalam berdepan skim penipuan yang semakin banyak di Malaysia ketika ini, Afyan berkata, terpanggil untuk menjalankan tanggungjawabnya bagi mengelak lebih ramai orang menjadi mangsa penipuan.

“Saya belajar undang-undang di UIA (Universiti Islam Antarabangsa) dan tamat pengajian pada 2003. Tapi saya tidak minat undang-undang dan lebih meminati kewangan.

“Selepas habis belajar, saya mulakan karier sebagai agen takaful dan dari situ saya mula mendapatkan ilmu kewangan dan selok-belok dalam dunia kewangan. Memandangkan saya ada ilmu tentang kewangan, saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk memberi penerangan kepada orang ramai supaya tidak terjebak dalam skim cepat kaya yang membuat tawaran indah dari rupa,” katanya.

Bagi kes Alfafa, Afyan menyifatkan ia sebagai satu pencapaian terbaik sehingga terpaksa berdepan di mahkamah tapi berbaloi apabila menang kes terhadap ‘Norscammer’.

AfyanDalam pada itu, Afyan juga sudah menerbitkan sebuah buku bertajuk “Tersontot Di Pintu Shorga” yang akan dijual di Pesta Buku Antarabangsa KL bermula 7 Mei ini.

Menurut Afyan, buku ini akan berkongsi mengenai skim-skim penipuan yang membuat tawaran indah dari rupa dan sudah berjaya memerangkap ribuan orang hanya semata-mata mahu mengejar kemewahan segera. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast