Hassan Rouhani. foto Agensi

LONDON – Presiden Iran, Hassan Rouhani memberi amaran kepada penduduk negara itu yang mereka akan berdepan autoritarianisme (junta ketenteraan) yang hebat jika beliau digantikan dengan seorang pelampau pada pilihan raya Mei depan.

Reuters melaporkan, kemenangan Rouhani pada pemilihan presiden 2013 menyebabkan kejutan selepas 8 tahun pemerintahan Mahmoud Ahmadinejad, yang menyaksikan tunjuk perasaan besar-besaran dan tindakan keras pihak berkuasa pada penggal kedua pentadbirannya.

“Kita tidak boleh benarkan mereka kembalikan iklim kepolisan di negara ini,” kata Rouhani dalam satu himpunan di bandar Yazd.

Rouhani kini berdepan persaingan sengit dari golongan berhaluan keras, sesetengahnya rapat dengan pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang mengkritik rekod ekonomi Rouhani, dan berkata usaha meredakan ketegangan dengan Barat dan perjanjian nuklear Iran masih belum menghasilkan manfaat ekonomi.

Antara pencabar Rouhani adalah Ebrahim Raisi, seorang ulama berpengaruh dengan pengalaman dalam perundangan, dan Datuk Bandar Tehran Mohammad Baqer Qalibaf, seorang bekas komander Pengawal Revolusi Islam.

Rouhani masih mempunyai sokongan kuat, terutamanya dalam kalangan anak muda kota yang tertarik dengan wawasan kebebasan sosial dan menghentikan campur tangan ulama dalam kehidupan peribadi, menurut penganalisis.

Bagaimanapun, aktivis hak asasi manusia berkata tidak banyak kebebasan peribadi atau pembebasan tahanan politik dicapai di bawah pentadbirannya, yang lebih fokus kepada mengurangkan pemulauan Iran di pentas dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast