Gambar hiasan

PETALING JAYA – Para cikgu selain guru besar tidak berkuasa untuk merotan murid dan perlu memikul tanggungjawab jika berlaku kontroversi selepas guru mengambil tindakan denda itu.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia, Huang Shi Fa berkata, selain guru besar, hanya guru disiplin atau penolong kanan yang diberi kuasa oleh guru besar boleh merotan.

“Bukan sahaja tidak boleh merotan, segala tindakan denda secara fizikal oleh cikgu termasuk memulas telinga murid juga adalah dilarang,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, para pendidik juga diberi penerangan mengenai perkara itu dan pihak sekolah mengharapkan guru mengambil perhatian supaya tidak hilang kawalan dan merotan murid.

“Kami faham cikgu pun manusia dan mereka mempunyai emosi sendiri, Mereka mungkin berdepan masalah dalam proses pengajaran dan hilang kawalan lalu merotan murid.

“Tetapi kami betul-betul berharap guru mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Guru besar itu menyatakan perkara tersebut semasa diminta mengulas mengenai kematian seorang pelajar tahfiz yang dipukul warden.

Shi Fa mengakui pihak sekolah masih menerima aduan-aduan ibu bapa yang meminta anak-anak mereka tidak dirotan.

“Kami juga memaklumkan guru bahawa semua masalah yang timbul akibat merotan perlu ditanggung cikgu sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya tidak bersedia untuk melarang tindakan merotan secara sepenuhnya di sekolah.

Beliau bagaimanapun berkata, tindakan menegur dan kaunseling mesti dijadikan pilihan utama sebelum rotan dikenakan.

“Masa ini tidak (untuk melarang rotan), tetapi kami bersedia mengkaji semula jika orang ramai mempunyai pandangan lain,” katanya.

Sin Woon berkata, masyarakat secara umumnya masih mempunyai pandangan berbeza mengenai tindakan merotan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast