Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara, Hasan Hamzah (kiri) menyaksikan Pelakon, Fattah Amin menerima Anugerah Buku Popular daripada Penyanyi, Datuk Shake (dua kiri) pada majlis Anugerah Buku 2017 di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 02 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan masyarakat di negara ini agar mengamalkan kaedah tapisan sendiri terhadap apa jua maklumat yang diterima.

Katanya, biar pun negara dilanda zaman teknologi maklumat yang tidak bersempadan namun semua itu tidak membolehkan masyarakat menerima bulat-bulat segala maklumat.

“Dalam menghadapi era ledakan teknologi maklumat masa kini, sangat perlu setiap kita membuat tapisan sendiri terhadap pengisian sesuatu maklumat termasuklah kesannya terhadap kehidupan kita.

“Kaedah dan amalan self censorship dapat mengelakkan masyarakat dari terjerumus ke kancah pengaruh negatif dan menghindarkan kita dari membuat sebarang keputusan yang tidak wajar,” katanya dalam Majlis Anugerah Buku Negara 2017 di ibu negara.

Ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Jelas Ahmad Zahid, masyarakat harus diterapkan dengan persepsi yang tepat berkaitan apa-apa isu dalam berhadapan dengan pelbagai bentuk tohmahan dan fitnah masa kini.

“Persepsi yang tepat adalah kunci kejayaan dalam berhadapan dengan pelbagai bentuk tohmahan dan fitnah, untuk maju ke hadapan, cara berfikir harus berubah selari dengan kemajuan pesat teknologi maklumat.

“Justeru itu, adalah suatu tindakan yang bijak untuk mentransformasikan minda kita dengan menjadikan buku dan sumber maklumat yang sahih sebagai satu panduan hidup,” katanya lagi.

Sementara itu, sepuluh kategori telah diperkenalkan di anugerah Perdana diberikan kepada 2017 Anugerah Buku Kebangsaan.

Antara anugerah adalah Anugerah Sejarahwan Biografi Malaysia yang dianugerahkan kepada Dr. Adnan Mohd Nawang, Anugerah Pengarang sepanjang masa politik, Syed Hussein Al-Attas dan Anugerah Best of the Best milik Mohana Gill. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast