Nazri Aziz

KENINGAU – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Sabah selamat untuk dikunjungi pelancong antarabangsa.

Nazri berkata,  beliau sangat yakin dengan kawalan keselamatan yang dilakukan oleh pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong luar negara untuk melawat ke Negeri Di Bawah Bayu ini.

“Tahap keselamatan pelancong antarabangsa ke Sabah terjamin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 1M Voluntourism ‘Plant A Tree’ di sini.

Menurut Nazri , sebelum ini pihaknya telah membawa duta negara China ke Malaysia melawat pantai timur Sabah dan reaksi yang diberikan mereka ialah negeri ini selamat untuk dilawati.

“Ini penjelasan mereka kepada kita,” katanya.

Sementara itu, Nazri juga berkata kementeriannya akan mengatur pakej lawatan kepada duta-duta luar negara yang lain secara berperingkat dan dalam kumpulan kecil untuk datang sendiri ke Sabah meninjau keadaan sebenar di negeri ini.

“Saya sendiri akan ke luar negara untuk menjelaskan keadaan ini � saya jemput duta-duta mereka untuk datang untuk tengok sendiri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang bersetuju dengan pandangan Nazri berkata, kesemua resort di pantai timur Sabah sentiasa penuh ditempah pelancong luar negara.

Katanya keadaan itu membuktikan keselamatan di negeri ini cukup terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast