Najib Razak

PUTRAJAYA – Prinsip wala’ yang diberikan kepada seseorang pemimpin yang sah harus ditaati demi kelangsungan sebuah negara bangsa, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata, wala’ yang membawa maksud nilai-nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, memberi taat dan bai’ah wajib diberikan kepada seseorang pemimpin yang sah dan institusi kepemimpinan yang dijunjung.

Katanya, gabungan prinsip tiga serangkai itu jika diamalkan akan menjelmakan satu kitaran yang sempurna antara pemimpin dengan yang dipimpin agar kemajuan serta kejayaan hakiki dapat didambakan.

“Di Malaysia ini, kita cukup berimbang, bersederhana, adil lagi saksama dan tidak bersifat diktator melampau sehingga mana timbul keterlaluan serta ketaasuban membuta tuli yang boleh membawa kepada fahaman atau ideologi ekstrem serta melampau,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 Fiqg Wala’ dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara di sini malam ini.

Menurut Perdana Menteri, beberapa pelosok dunia, orang Islam terjerumus ke kancah salah tafsir konsep jihad sebagaimana ancaman berbahaya IS dan Daesh sehingga sanggup bertindak di luar kepompong syura atau demokrasi iaitu menggulingkan kerajaan yang sah lagi dipilih oleh rakyat.

“Sebab itulah kita tidak mahu rakyat negara ini tanpa dibimbing dengan pegangan wala’ dan prinsip wasatiyyah seperti yang digariskan oleh Islam, tersasar atau terpesong menjadi golongan yang terlalu longgar serta terlalu liberal, sampaikan sanggup mengamalkan budaya Machiavelli,” katanya.

Menurut najib, sebagai pemimpin dan ketua kerajaan, beliau terbuka kepada pandangan serta menerima teguran yang membina.

“Namun, sebarang kritikan atau teguran itu sama sekali tidak wajar disulami dengan fitnah, cacian atau tohmahan jahat yang boleh menjatuhkan aib dan bertujuan untuk merosakkan nama baik pemimpin,” katanya.

Ini kerana katanya, sejajar dengan konsep tabayyun iaitu bermaksud menyelidiki dahulu sesuatu berita dengan teliti, sebelum mempercayai dan membuat keputusan untuk menyebarkannya.

“Apabila setiap seorang daripada kita memahami sedalam-dalamnya prinsip tiga serangkai iaitu Wala’s-Wasatiyyah-Tabayyun, biar apapun cabaran dan dugaan yang mendatang, sebagai ummah kita pasti akan terus teguh berdiri mencapai tahap ummah par excellence atau khayra ummah yang disegani oleh kawan dan lawan,” ujar.

Perdana Menteri berkata wala’ wajib diberikan oleh ahli-ahli parti dalam sesuatu organisasi atau dalam perspektif lebih luas, rakyat Malaysia keseluruhannya kepada kerajaan kerana segala usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh pentadbiran negara adalah demi kepentingan dan mendahulukan rakyat.

“Ertinya jauh sekali untuk kerajaan seperti Malaysia bertindak zalim atau apa-apa yang memudaratkan rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast