KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak seharusnya melihat hanya dirinya atau partinya sahaja yang mahukan hukum syariah tertegak di negara ini.
Itu pendapat Pengarah Hal Ehwal Syariah Parti Amanah Negara (PAN), Zolkharnain Abidin.
Menurutnya, PAN ada pendekatannya sendiri yang diyakini berupaya meletakkan hukum syariah pada tempatnya tanpa mengganggu keharmonian bermasyarakat dan bernegara dengan berteraskan perlembagaan.
“Bukankah Presiden Pas juga menyeru rakyat menjunjung perlembagaan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dipercayai merujuk kepada ucapan Abdul Hadi yang mendakwa Pas sahaja parti yang benar-benar mengangkat usaha memartabatkan perlaksanaan syariah di negara ini semasa penggulungan Muktamar Pas Ke-63 di Kedah baru-baru ini.
Malah Zolkharnain seterusnya berpendapat hanya golongan Khawarih yang melihat perlaksanaannya secara keras, kasar dan tidak menghiraukan orang lain sedangkan ia bukan datang syariah.
“PAN komited dengan syariah, pelaksanaan syariah tetapi bukan dengan kerangka pemikiran Khawarij,” ujarnya lagi.
Terdahulu, beliau juga mendakwa bagaimana maqasid syariah bermaksud mengabaikan syariah padahal sumber maqasid syariah adalah syariah.
“Perintah berzakat misalnya, secara jelas dinyatakan tujuannya oleh al-Quran iaitu membersihkan serta menyucikan jiwa pengeluar zakat daripada dosa. Pengeluar zakat beroleh doa kebaikan daripada rasul dan orang beriman yang akhirnya membawa ketenangan dan rahmat dalam kehidupan.
Maqasid bukan bersumberkan nafsu tetapi wahyu dan jika mengambil maqasid adalah arahan syariah, bagaimana boleh dikata mengambilnya mengabaikan syariah, soalnya.
“Malaysia bukan Mekah atau Madinah, atau Baghdad dan Basrah. Kita hidup pada era langit terbuka, maklumat tersebar pantas dan manusia semakin kritikal. Pelaksanaan syariah perlu mengambil kira semua realiti itu.
“Mengambil kira realiti bukan bermakna menundukkan syariah kepada realiti atau waqi’. Nabi SAW menjawab soalan yang sama dengan jawapan yang berbeza apabila ditanya oleh individu berbeza. Itulah kebijaksanaan Nabi hidup bersama realiti,” tegasnya.- MalaysiaGazette