MONACO – Juventus membawa pulang bekalan gol berharga selepas menewaskan Monaco 2-0 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Penyerang Juventus, Gonzalo Higuain meledak dua gol bagi membantu kelab dari Itali itu dalam usaha menempah tiket ke perlawanan akhir pada 3 Jun ini.
Pelawat tidak berdepan masalah untuk ‘mengajar’ barisan muda Monaco yang dilihat menampilkan aksi luar biasa sepanjang kejohanan ini.
Tuan rumah menerima pengajaran berharga di laman sendiri menentang pasukan juara Serie A yang nyata lebih berpengalaman.
Gol pertama hadir selepas hampir setengah jam aksi apabila bek kanan, Dani Alves meluru masuk ke dalam kotak penalti Monaco dan menghantar bola ke belakang kepada penyerang Argentina, Higuain bagi melakukan penyudah yang menarik untuk gol pertama Juventus pada minit ke-29.
Kedua-dua pemain berkenaan sekali lagi bergabung untuk gol kedua pelawat pada minit ke-59, dengan Higuain menyempurnakan hantaran bola lintang dari pertahanan veteran Brazil itu.
Monaco cuba bangkit dengan beberapa peluang menarik namun percubaan mereka sering disekat oleh barisan benteng Juventus yang dianggap sebagai pertahanan paling ketat dalam saingan kelab di Eropah dengan hanya dua gol dilepaskan sepanjang kempen kali ini.
Penjaga berusia 40, tahun. Gianluigi Buffon turut memainkan peranannya dengan cemerlang, menafikan beberapa percubaan termasuk rembatan kencang Falcao dan menepis tandukan Valere Germain.
Dengan keputusan, Juventus diramal akan bertemu Real Madrid pada pentas akhir biarpun perlu menempuh separuh akhir kedua. – MalaysiaGazette