Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mahammad Ibrahim (dua kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Rafizi Ramli pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Putrajaya. foto MALAYSIA GAZETTE, 04 MEI 2017

PUTRAJAYA – Kesal dengan dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mengatakan hakim mahkamah syariah menerima rasuah, sekumpulan wakil pegawai dan peguam syariah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini, hari ini.

Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mahammad Ibrahim yang mengetuai kumpulan itu berkata, tuduhan Rafizi itu tidak berasas kerana salah laku jenayah itu merupakan kes terpencil.

“Berdasarkan rekod, hanya terdapat satu sahaja kes rasuah yang melibatkan hakim syarie yang telah didakwa dan disabit kesalahan.

“Kenyataan Rafizi merupakan satu fitnah dan penghinaan kepada institusi kehakiman syariah serta hakim-hakim mahkamah syariah dan mampu mewujudkan kekeliruan serta mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan IPD Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut sama membuat laporan polis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia, Datuk Ibrahim Idris dan wakil Persatuan Peguam Syariah Malaysia, Muhamad Abdul Karim Wahab.

Pada 10 April lalu, Rafizi dalam ucapannya yang disampaikan dalam program sidang Parlimen olok-olok anjuran pembangkang di pejabat Invoke, Sungai Besi mendakwa, kes hakim mahkamah syariah ditangkap dan ditahan kerana rasuah lebih banyak berbanding hakikm mahkamah sivil.

Dakwaan Naib Presiden PKR itu timbul susulan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang dicadangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak melibatkan kenaikan gaji hakim-hakim mahkamah syariah.

Mengulas lanjut, Mahammad juga berkata, pihak polis perlu menyiasat Ahli Parlimen Pandan itu di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana ia merupakan satu jenayah fitnah.

“Laporan ini dibuat kerana kenyataan Rafizi itu merupakan satu serangan ke atas integriti kehakiman syariah dan perlu disiasat segera,” tegasnya.

Beliau juga berkata, tuduhan Rafizi merupakan satu penghinaan kepada institusi Raja-Raja Melayu yang telah melantik hakim-hakim mahkamah syariah.

“Ia telah merendahkan martabat dan kedudukan hakim-hakim mahkamah syariah yang selama ini dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat terutamanya dalam kalangan orang Islam.

“Ia sekaligus merendahkan reputasi mereka di mata masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Rafizi dipercayai mengeluarkan kenyataan itu untuk kepentingan politik peribadinya.

“Kami juga menegaskan bahawa agama tidak sepatutnya dipolitikkan,” katanya lagi.

Gesaan Mahammad itu mendapat persetujuan daripada kesemua 546 pegawai dan peguam syariah di seluruh Malaysia.- MalaysiaGazette