Ruhanie Ahmad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan mewujudkan kuota khusus untuk menjamin pemilikan pelbagai hartanah komersial dan peluang perniagaan di kawasan bandar kepada bumiputera.

Naib Presiden Perkasa, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, ketika ini peratusan pemilikan hartanah komersial termasuk premis perniagaan, ruang pejabat dan kilang oleh bumiputera amat mendukacitakan.

Katanya, perangkaan Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) tahun 2012 menunjukkan pemilikan hartanah industri oleh bumiputera hanya 4.5 peratus dan ruang pejabat 5.4 peratus berbanding bukan bumiputera.

“Perangkaan ini sudah lima tahun usianya. Kerajaan perlu memandang serius hakikat ini dan mengemukakan inisiatif dasar affirmatif (kesungguhan) serta kewangan yang segera untuk mengatasinya” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Ruhanie yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional Bumiputera Perkasa memberitahu, kerajaan juga perlu mewujudkan sebuah perbadanan atau institusi khas untuk membeli rumah kediaman dan rumah kedai di bawah kuota Bumiputera yang gagal dijual di seluruh negara.

Ini katanya, bagi mengelakkan hartanah tersebut daripada dijual kepada bukan bumiputera seperti diamalkan sekarang.

“Begitu juga pemantauan tegas ke atas pemaju yang sering memberi alasan ‘tiada pembeli dari bumiputera’ tetapi sebaliknya manipulasi agar unit yang gagal dibeli itu dijual kepada kaum bukan bumiputera pada harga lebih tinggi,” kata beliau.

Beliau turut menjelaskan, pembatalan perjanjian usahasama bernilai RM7.41 billion antara Konsortium Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Cooperation mungkin memberi rahmat kerana sebelum ini perjanjian membangunkan Bandar Malaysia tidak menghuraikan dengan terperinci penyertaan kaum bumiputera.

Ujar Ruhanie, pembangunan bandar-bandar di Malaysia jika diadakan usahasama dengan mana-mana pihak mesti terlebih dahulu mempamerkan secara terperinci penyertaan dan kuota untuk bumiputera.

“Lantaran itu, Perkasa mendesak kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas berwibawa dan berintegriti di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mengendalikan projek mega melibatkan syarikat China atau lain-lain syarikat dari negara luar bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam projek itu tidak diabaikan dan dibuat secara telus.

“Kita juga mendesak kerajaan mengkaji pengalaman lain-lain negara termasuk Sri Lanka, Pakistan dan Afrika yang menghadapi masalah akibat projek mega oleh syarikat China di negara tersebut,” jelas beliau. – MalaysiaGazette