KUALA LUMPUR – Punca ramai yang masih terjebak dalam penipuan pelaburan haram adalah disebabkan mereka tiada ilmu pengurusan kewangan sehingga saban tahun berjuta-juta wang hangus dek kerana mahu jadi orang kaya segera.
Daripada senarai dalam laman Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 288 nama syarikat dan laman portal yang tidak berdaftar bawah bank pusat tersebut dan semua ini terlibat dalam transaksi meragukan.
Daripada senarai tersebut, sebanyak 98 syarikat sudah disiasat BNM dan ada yang sedang berdepan pendakwaan di mahkamah atas pelbagai kesalahan mengikut akta perbankan.
Walaupun masyarakat mengetahui tentang risiko kerugian apabila mendapat tawaran untuk melabur dalam satu-satu skim, mereka masih sanggup untuk melabur dengan ada antaranya membuat pinjaman peribadi malahan ada yang membuat pinjaman dengan ah long.
Menurut seorang penasihat kewangan, Afyan Mat Rawi yang sudah biasa membuat pendedahan membabitkan pelaburan-pelaburan haram, sukar menyekat untuk orang ramai daripada terjebak dengan pelaburan sedemikian.
Ini kerana rata-ratanya kurang ilmu kewangan dan setiap tawaran yang menjanjikan pulangan yang besar sudah pasti akan mempengaruhi sesiapa sahaja.
“Masyarakat kena ada pendidikan tentang kewangan sebab saya lihat di Malaysia tahap kesedaran kewangan sangat lemah, contoh baru ni keluar statistik bankrap di Malaysia di mana 30 peratus yang bankrap bawah umur 30 tahun.
“Bayangkan baru kerja tidak sampai 10 tahun sudah bankrap, muda-muda dah kena bankrap,” Afyan semasa ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.
Tegas Afyan, ilmu kewangan perlu dimasukkan dalam silibus pendidikan awal untuk memberikan mereka kesedaran apabila dewasa kelak agar tidak mudah tertipu dengan pelbagai pelaburan haram yang setiap tahun tumbuh seperti ‘cendawan selepas hujan’.
“Dari tadika, sampai sekolah rendah, sampai sekolah menengah dan ke universiti, mana ada silibus tentang pengurusan kewangan, tidak ada.
“Apa yang diajar dalam subjek Kemahiran Hidup hanya belajar tentang perakaunan dan ia bukan cara pengurusan kewangan sendiri. Kalau boleh kerajaan perlu tolong wujudkan silibus pengurusan kewangan sekurang-kurangnya peringkat universiti,” katanya.
Tidak dapat dinafikan skim pelaburan semakin menjadi-jadi, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, bagi tempoh tahun lalu saja, lebih RM210 juta kerugian dicatatkan akibat penipuan pelaburan haram.
Ia membabitkan 1,151 kes dengan jumlah kerugian tertinggi berlaku di Selangor iaitu RM98.3 juta atau sebanyak 98 kes.
Peningkatan yang tinggi jika dibandingkan pada tahun 2015 pula, dimana sebanyak 408 kes dicatatkan membabitkan kerugian lebih RM70 juta.
Senario statistik itu jelas menunjukkan orang ramai tidak serik-serik.
Mereka tidak menjadikan pengajaran daripada insiden-insiden terdahulu dan dengan pelbagai kempen-kempen kesedaran pihak berkuasa pun masih tidak mampu menghalang orang ramai tertipu.
Menurut Afyan, setiap pelaburan haram mempunyai sistem yang strategik untuk menipu orang ramai dan mereka ini berjalan secara serentak dalam mencari mangsa-mangsa baharu.
“Scam ini ada tiga peringkat – pertama mastermind, mereka ini apabila hancur satu-satu scam mereka tidak akan berhenti tapi akan mewujudkan satu lagi skim baharu untuk, orang tidak akan tahun siapa di belakang scam ini tapi dia adalah pengasas dan penyumbang dana awal sesuatu scam yang bagi modal.
“Kemudiaan, mereka akan rekrut satu frontliner di mana ia akan cari orang dan mempengaruhi orang lain, golongan ini akan menunjuk-nunjuk kereta dan rumah mewah, golongan ini juga kadang-kadang ada juga golongan profesional.
“Yang paling banyak adalah rakyat marhaen, peringkat bawahan ini, selalunya golongan pertengahan yang masuk ini mempunyai harapan yang besar untuk mengubah masa depan hidupnya yang sanggup bergolok-gadai,” ujarnya lagi.
Namun, Afyan melahirkan kekecewaan apabila lebih malang lagi adalah apabila mereka yang menjadi mangsa seolah-olah pasrah dengan nasib mereka selepas ditipu.
“Mangsa sendiri tidak bawa kes itu (penipuan pelaburan haram), macam pasrah kena tipu dan mereka dalam dilema sebab untuk guna peguam kena guna duit banyak tapi menang kes itu belum tentu,” katanya.
Sebagai nasihat, Afyan menggesa supaya orang ramai mengelak daripada terpukau dengan kekayaan segera yang ditawarkan oleh mana-mana pihak sama ada secara bersemuka atau menerusi atas talian. – MalaysiaGazette