Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Penutupan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 "Fiqh Wala' dan Taat : Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara" pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). foto HAZROL ZAINAL, 04 MEI 2017.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas dua warga Turki, Turgay Karaman dan Ihsan Aslan yang ditahan Bahagian Anti Keganasan dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keluarga kedua-dua lelaki itu tidak perlu khuatir kerana polis akan melakukan siasatan secara rapi dan akan membawanya ke mahkamah mengikut SOSMA.

“Kalau dua warga itu tidak terlibat, polis akan melepaskan mereka,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita selepas merasmi penutup Seminar Institut Wasatiyyah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Semalam, polis mengesahkan, T. Karaman dan Ihsan Aslan ditangkap berkaitan aktiviti yang mengancam keselamatan Malaysia di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, polis sedang menyiasat dakwaan berhubung seorang warga Turki (dikenali sebagai Turgay Karaman) diculik di Damansara Heights pada Selasa, selepas satu laporan polis dibuat.

Karaman, yang dipercayai seorang pengetua di sebuah sekolah antarabangsa di Ipoh, sepatutnya memberi keterangan pada perbicaraan yang ditetapkan pada 3 dan 4 Mei.

Karaman sepatutnya berjumpa dengan rakannya, Suheyl Ozcelik di pejabat peguam mereka di Damansara Heights pada jam 4.30 petang Selasa, tetapi tidak menghadirkan diri.

Menurut Ahmad Zahid, beliau dimaklumkan Bahagian Anti Keganasan dan Cawangan Khas telah mengikuti beberapa pergerakan individu yang terlibat dalam penyebaran, mempengaruhi serta memberikan dana untuk aktiviti yang berkaitan dengan Daesh.

“Ini termasuk dua warga Turki ini. Polis akan bawa mereka ke panel POCA, POTA dan SOSMA, walaupun kedua warga Turki sekarang ini ditahan bawah SOSMA,” katanya.

Beliau kemudian meminta semua pihak termasuk keluarga tahanan supaya menghormati maklumat yang diperolehi polis kerana pasukan berkuasa ini telah menjejaki beberapa komunikasi yang telah dilakukan.

Bagaimanapun, ujar Ahmad Zahid, mereka jangan khuatir kerana kerajaan tidak akan menzalimi tahanan jika tidak terlibat.

“Kita beri jaminan kepada mereka, tahanan akan dibebaskan jika tidak ada bukti penglibatan dalam aktiviti keganasan, tetapi jika pihak polis ada bukti kukuh, kita akan tahan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast