KUALA LUMPUR – Sambutan ulang tahun UMNO ke-71 yang berlangsung pada 11 Mei depan mungkin merupakan medan himpunan terakhir bagi parti Melayu itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.
Berikutan kemunculan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang merupakan serpihan daripada UMNO – tidak keterlaluan jika medan himpunan yang sama dilihat kayu ukur sokongan dan wala’ ahli-ahlinya.
Dari sudut visual, pemilihan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue himpunan, ia mampu memberikan kesan keutuhan sokongan daripada akar umbi, selari dengan temanya, Penyatuan, Maruah & Martabat Perjuangan dan Kesetiaan.
Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh mengganggarkan sekurang-kurangnya lebh dari 100,000 ahli akan hadir pada himpunan tersebut.
Beliau yang hadir ke Bukit Jalil, membuat lawatan persiapan akhir sambutan tersebut hari ini turut menyeru agar ‘semangat’ Bukit Jalil pada 11 Mei nanti berjaya ‘diterjemahkan’ melalui program-progam serta persembahan yang akan diadakan nanti.
“Kita telah membuat gerak kerja yang menjurus kepada sambutan tersebut seperti larian bendera di seluruh negara.
“Seluruh masyarakat, penyokong dan ahli UMNO begitu bersemangat membawa bendera Sang Saka Bangsa menuju ke Bukit Jalil.
“Semangat juang ini kita akan lihat di sini nanti dalam menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan parti di bawah Datuk Seri Najib Razak (Presiden UMNO).
“Jadi, bersatu akan diterjemahkan dalam stadium ini disamping menunggu suntikan semangat daripada presiden dalam amanatnya bagi menghadapi PRU-14.”
Himpunan tersebut juga bakal menjadi medan untuk membuktikan kepada bekas pemimpin parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa perpaduan sebenar orang Melayu ada dalam UMNO, bukan pada parti yang diasaskan bekas perdana menteri itu.
“Malam itu juga, semua ahli dan penyokong yang hadir memakai baju berwarna merah sempena ulang tahun UMNO.
“Ini adalah merah yang original, bukan merah yang diciplak oleh parti yang meniru warna merah UMNO dan ini adalah ‘bersatu’ yang original, bukan yang ditiru daripada UMNO,” tegasnya.
Dalam siri lawatannya hari ini, Rauf turut menekankan aspek kebajikan dengan menyediakan tapak-tapak pameran dan jualan bagi pengusaha produk Industri Kecil dan Sederhana selain 40 tapak bagi pengusaha food truck di perkarangan stadium.
Beberapa kain rentang bertulis ‘Dimana UMNO Bertapak Disitu Melayu Dijunjung” dan ‘Takkan UMNO Hilang Di Dunia’ yang digantung di sekitar stadium bakal menjadi ‘penyambut tetamu’ pada himpunan tersebut.- MalaysiaGazette