KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) masih belum membuat keputusan muktamad mengenai pelaburannya di Kanada.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, apa yang penting bagi Petronas adalah memastikan projek terminal Pacific NorthWest gas asli cecair (LNG) di Kanada itu mempunyai daya saing yang tinggi berbanding pengeluar-pengeluar yang lain memandangkan harga LNG ketika ini berada di paras yang rendah.
“Kami sedang meneroka semua pilihan yang ada supaya projek ini kompetitif berbanding pesaing-pesaing yang lain di Amerika Utara.
“Petronas akan mengumumkan keputusan pelaburan muktamad pada waktu yang sesuai,” katanya semasa sidang media sempena Persidangan Minyak dan Gas ke-19 di sini hari ini.
Syarikat minyak dan gas negara itu mengalami tamparan hebat apabila harga minyak dunia jatuh sehingga menjejaskan keuntungannya meskipun telah mengambil beberapa inisiatif termasuk mengurangkan perbelanjaan operasi dan modal serta membuang pekerja.
Projek bernilai AS$27 bilion itu telah mendapat lampu hijau daripada kerajaan Kanada pada September tahun lalu selepas tertangguh selama tiga tahun akibat bantahan berhubung kebimbangan terhadap pencemaran alam sekitar terutamanya kepada habitat ikan salmon.
Dalam pada itu, Wan Zulkiflee turut membayangkan akan berlakunya pelupusan aset serta pembuangan pekerja pada tahun ini.
“Pembuangan pekerja adalah sesuatu yang biasa berlaku di dalam organisasi besar.
“Saya tidak berjanji bahawa tiada pengurangan pekerja akan berlaku tetapi fokus kami tetap sama iaitu membuang pekerja yang tidak menunjukkan prestasi yang baik serta bahagian-bahagian yang berlaku pertindihan tanggungjawab.
“Cuma ia mungkin tidak sebesar yang kami lakukan pada 2016 yang lalu,” katanya.
Tahun lepas Petronas membuang seramai 2,300 pekerja kepada 51,000 orang.-MalaysiaGazette