Twitter Dr. Halimah Ali

KUALA LUMPUR – Seorang Exco Pas Kerajaan Negeri Selangor hari ini membidas Parti Amanah Negara (PAN) yang didakwa memfitnah beliau akan menyertai parti itu tidak lama lagi.

Dr. Halimah Ali yang memegang jawatan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan berkata, PAN nyata menabur fitnah kepadanya dan dua lagi ADUN Selangor berhubung dakwaan akan menyertai PAN.

“Ini tuduhan palsu dan fitnah.

“Makanan harian PAN adalah fitnah Semalam Hamidah Mokhtar (Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak). Hari ini YB. Dr. Rani dan Dr. Halimah jadi mangsa terbaru,” katanya dalam Twitter rasmi beliau @drhalimahali hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada status ADUN Meru Dr. Abdul Rani Osman yang turut mendakwa dirinya difitnah PAN.

“Fitnah terbaru disebarkan. Saya serahkan kepada Allah untuk menghukum penbuat dan penyebar fitnah ini,” tulis bekas pesuruhjaya Pas Selangor itu.

Ia berikutan tersebarnya satu gambar yang menggunakan riak wajah Dr. Rani dan Dr. Halimah Ali dengan paparan kata-kata ‘Ingin bersama Amanah (PAN), Amanah sedang pertimbangkan’.

Kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besarnya Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini dilanda kontroversi apabila didakwa empat ADUN PKR akan meninggalkan parti dan membentuk kerajaan negeri campuran dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Bagaimanapun, Azmin pantas menempis dakwaan berkenaan dan mendakwa kesemua ADUN kerajaan negeri Selangor masih utuh dibawah kepimpinan beliau.

Empat ADUN PKR yang dinamakan itu ialah Batu Tiga, Rodziah Ismail; ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi; ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad dan ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast