Penduduk Villa Suria, Ganasan Arumugam mendakwa tiang rasuk Lebuhraya DASH memasuki kawasan perumahan.

SHAH ALAMProjek Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) yang mula dibina sejak Ogos tahun lalu mengundang keresahan kepada masyarakat apabila laluan bertingkat itu didakwa ‘menceroboh’ sebuah kawasan perumahan.

Menurut penduduk Villa Suria, Ganasan Arumugam, 44⁠⁠⁠⁠, dia tidak pernah membantah pembinaan lebuh raya berkenaan, sebaliknya ia perlu mengambil kira kepentingan penduduk khususnya melibatkan keselamatan, nyawa dan kediaman mereka.
Ganasan berkata, keselamatan penduduk Villa Suria kian terancam apabila pemasangan tiang rasuk laluan bertingkat itu akan melibatkan kawasan perumahan mereka, iaitu kira-kira 20 meter dari kediaman penduduk.
“Bila saya minta kontraktor tunjuk di mana letaknya kedudukan tiang rasuk itu, dia tunjuk ada tiga tiang di luar rumah saya (kurang 20 meter). Kita bukan nak hentikan Lebuhraya DASH, ia boleh diteruskan bagus untuk negara dan rakyat.
“Apa yang kita nak, jangan bawa lebuh raya bertingkat ke dalam rumah kami kerana hartanah di sini milik kami,” katanya kepada Malaysia Gazette dalam lawatan tapak binaan di kediamannnya di Villa Suria di sini baru-baru ini.
Lebuhraya DASH merupakan laluan bertingkat enam lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint.
Pembinaannya dilaksanakan sebagai laluan alternatif kepada pengguna bagi mengelak kesesakan selain menjadi penghubung utama memasuki laluan ke utara dan selatan tanah air dan bakal dibuka kepada pengguna menjelang Ogos 2020.
Ganasan juga berkata, lebih mengecewakan apabila pihak kontraktor konsesi lebuh raya itu didakwa telah melakukan ujian tanah tanpa pengetahuan dan kelulusan penduduk setempat.
“Ada satu kejadian dalam jam 1 pagi baru-baru ini, dia ada buat ujian tanah dalam kawasan perumahan ini dan berdekatan dengan rumah saya.
“Bila saya periksa dengan pihak kontraktor apa tujuan ujian tanah itu dilakukan, dia cakap Lebuhraya DASH nak masuk, ada tiga rasuk tinggi akan berdepan dengan rumah saya di barisan terakhir perumahan ini,” dakwanya.
Kesal dengan tindakan kontraktor tersebut, Ganasan bersama beberapa penduduk lain membuat laporan polis di Balai Polis Cahaya SPK untuk menghalang kerja-kerja pemasangan tiang rasuk yang menceroboh perumahan terbabit.
“Isnin lalu ketua balai datang membuat tangkapan terhadap tiga orang agar menghentikan kerja pembinaan, tapi kerja-kerja dalam taman perumahan ini tak berlaku,” katanya.
Penduduk Villa Suria, Marzuki Affendi Mahidin mendakwa gegaran semakin kuat dirasai di rumahnya jika tiang rasuk memasuki kawasan perumahan mereka.
Marzuki Affendi Mahidin

Sementara itu, menurut seorang penduduk, Marzuki Affendi Mahidin, 41, sekiranya tiang rasuk laluan bertingkat itu diletakkan di hadapan pagar perumahan, dibimbangi gegaran lebih teruk boleh mengancam nyawanya sekeluarga.

“Sekarang pun boleh rasa gegaran kuat di rumah bila jentera berat buat kerja di seberang jalan rumah. Isteri dan anak-anak yang duduk di rumah pun boleh rasa gegaran sampai almari bergoyang dan gelas berlaga.
“Kita boleh bayangkan macam mana tahap gegaran yang terpaksa kami hadapi dan sudah tentu gegarannya berganda berbanding apa yang berlaku dalam tempoh dua minggu sekarang,” katanya.
Penduduk Villa Suria, Aizar Othman berkata, kerja-kerja pembinaan tiang rasuk ke dalam perumahan mereka menjejaskan kehidupan sekeluarga.
Aizar Othman
Bagi Aizar Othman, 40, kedudukan tiang rasuk terlalu dekat dengan rumahnya boleh menjejaskan kehidupannya memandangkan dia mempunyai anak kecil.
“Bayangkan benda itu bukannya jauh iaitu lebih kurang 19 meter dari rumah kami. Bayangkan bagaimana keadaan rumah kami nanti bila projek pembinaan itu makin dengan pagar rumah kami.
“Seperti saya, ada anak berusia sebulan, ia akan ganggu kehidupan kami, ini tak elok kepada keadaan anak saya,” katanya.
Penduduk Villa Suria, Khalilawaty Khairuddin mendakwa keselamatan anak-anaknya akan terjejas apabila dinding di sebelah jalan utama dirobohkan.
Khalilawaty Khairuddin
Seorang lagi penduduk yang juga bekas pegawai keselamatan di sebuah syarikat pembinaan, Khalilawaty Khairuddin, 39, berkata, sekiranya pembinaan itu melepasi dinding pagar perumahan itu, dia khuatir keselamatan anak-anak akan terancam.
“Bila ada kenderaan jentera berat di dalam kawasan rumah saya, semestinya ada risiko besar kepada kami terutamanya kanak-kanak, mereka tak boleh bermain secara selamat lagi.
“Bila dinding penahan itu diroboh, dan dia (kontraktor) keselamatan kami tidak terjamin kerana pekerja-pekerja binaan akan bebas untuk berkeliaran dan boleh mengundang jenayah,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast