KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan tindakan dua wartawan dipercayai dari Sarawak Report mengganggu program isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai biadab dan kurang ajar.
Menerusi kenyataan dalam blognya, beliau berkata, kedua-dua wartawan berkenaan bercakap mengenai hak kebebasan, tetapi sikap mereka sebaliknya, tidak menghormati orang lain.
“Sarawak Report menunjukkan sikap kurang sopan dan tidak beradab apabila mengugut dan mengganggu program Rosmah.
“Mereka mendakwa England negara bertamadun, tetapi mereka sendiri tidak memperlihatkan seperti itu. Sekurang-kurangnya hormatlah kepada isteri Perdana Menteri dari luar negara apabila datang ke negaranya,” kata beliau.
Rosmah kini berada di United Kingdom untuk lawatan tujuh hari sejak Khamis hingga esok bagi menghadiri program dan perbincangan mengenai Pusat Anak Permata Negara (Permata) yang dinaunginya.
Beliau ditemani Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said bersama 32 pelajar serta enam guru. – MalaysiaGazette