Tan Sri Ibrahim Abu Shah.

KUALA LUMPUR – Kembara Pendidikan Nasional 2017 bermula 16 Mei ini mungkin kedengaran program biasa namun ia sebenarnya medan mengenalpasti masalah guru dan menanganinya secara menyeluruh.

Pengerusi Yayasan Minda, Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata, sekiranya masalah itu besar ia akan dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita juga ingin mengetahui apakah aspirasi, apakah jangkaan, apakah mungkin jika ada masalah-masalah yang dapat mereka lontarkan, supaya kita dapat melihat perkara ini.

“Kemungkinan kita akan bawa perkara ini ke atas (Perdana Menteri) kalau ada cadangan atau masalah diutarakan, kita akan cuba sedaya upaya menyelesaikan,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan gerak kerja kembara berkenaan di pejabatnya petang tadi.

Ibrahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menjaga soal pendidikan itu memberitahu, Kembara Pendidikan Nasional 2017 bertemakan ‘Terima Kasih Guru’ itu dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Gabungan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 16 Mei ini di 12 lokasi di seluruh negara sebagai penghargaan kepada guru-guru.

Program itu julung kali diadakan oleh badan bukan kerajaan yang mewakili rakyat selepas 60 tahun negara merdeka.

“Kita ingin menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru di seluruh negara yang telah berjasa dan membimbing anak bangsa kita hingga mereka berjaya dan sekali gus dapat merapatkan hubungan guru dengan masyarakat

“Kita akan bergerak bermula dari Johor dan ke seluruh negeri untuk berjumpa dengan guru-guru dalam bentuk dialog, program perjumpaan santai dan program minum kopi,” katanya

Kembara Pendidikan Nasional 2017 yang bakal diadakan ini serentak dengan sambutan Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun.

Jelajah itu akan diwakili sekumpulan 20 orang sukarelawan terdiri daripada belia dan anak muda untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada pendidik di setiap lokasi di seluruh negeri.

Mengulas lanjut, Ibrahim Shah juga berkata, sesi dialog yang bakal diadakan nanti menyerupai program Transformasi Nasional 2050 (TN50) di samping menyatakan terima kasih, guru-guru juga akan diberi penerangan tentang kepentingan pendidikan dan peranan mereka.

Pengerusi Yayasan Minda, Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah (tengah) semasa hadir pada Mesyuarat Penyelarasan Gerak Kerja Kembara Pendidikan Nasional 2017 di pejabat Yayasan Minda, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 MEI 2017
Pengerusi Yayasan Minda, Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah (tengah) semasa hadir pada Mesyuarat Penyelarasan Gerak Kerja Kembara Pendidikan Nasional 2017 di pejabat Yayasan Minda, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 MEI 2017

 

Sementara itu, Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa berkata, pihaknya akan memberikan cenderamata ‘Terima Kasih Cikgu’ itu kepada 5,000 wakil guru dari seluruh negeri yang terlibat dalam jelajah itu.

“Kita di pihak sukarelawan juga akan bawa sekeping poster dan badge penghargaan kepada wakil guru yang hadir pada hari itu dan mereka ini terdiri daripada Guru Muda 1Malaysia.

“Guru Muda 1Malaysia ini satu pertubuhan, terdiri daripada 260,000 guru muda yang berumur di bawah 40 tahun sedang berkhidmat di sekolah-sekolah di seluruh negara ini,” katanya.

Zambri juga menggesa seluruh anggota masyarakat setempat menyertai Kembara Pendidikan Nasional 2017 itu untuk hadir dan memberikan penghargaan sendiri kepada warga pendidik itu.

“Sudah 60 tahun kita merdeka, apa yang kita lihat hari ini yang berlaku dalam negara ini adalah hasil daripada air tangan guru sendiri. Mana mungkin negara ini dapat dibina kalau kita tiada guru.

“Orang ramai nak datang untuk bawa atau bagi hadiah pun boleh, nak bagi penghargaan macam mana pun boleh,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast