KUALA LUMPUR – Walaupun sokongan golongan guru terhadap kerajaan memerintah dianggap berada di tahap kritikal namun ia tidak bermakna warga pendidik itu anti kerajaan.
Demikian kata Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah sambil menegaskan, dakwaan guru anti kerajaan itu tidak berasas dan persepsi itu boleh diperbetulkan dengan bersemuka dengan mereka.
“Apabila guru kritikal, mereka ingin tahu jawapan, jadi kami turun (padang) dan kami cuba beritahu fakta-faktanya, kerana guru-guru yang dianggap tidak pro kerajaan pun, insya-Allah kita pun boleh bantu untuk meneutralkan mereka.
“Kami buat dialog soal dan jawab, kami terangkan fakta-fakta, insya-Allah mereka boleh (terima), walaupun mereka kritikal bagaimanapun mereka ini manusia biasa, mereka akan bertukar (sokongan),” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Yayasan Minda petang tadi.
Sebelum ini, terdapat segelintir guru yang menyalahgunakan kemudahan pembelajaran di sekolah terutamanya internet untuk menghasut dan meracuni fikiran pelajar membenti pemimpin negara dengan agenda.
Mengulas lanjut, Ibrahim Shah berkata, apabila golongan guru mula meracuni fikiran pelajar dengan dakyah pembangkang, ia mencerminkan mereka tidak neutral ketika menjalankan tugas di sekolah.
“Kalau profesion perguruan ini tidak menyokong kerajaan sedia ada, sebagai penjawat awam, maksudnya mereka tidak neutral dalam menjalankan tugas, mereka mencucuk (menghasut) pelajar, itu bahaya, ini kita tak nak,” tegasnya.
Beliau turut berkata, golongan guru juga kritikal kerana mereka mahukan jawapan dan penjelasan sebenar dalam sesuatu isu khususnya yang dekat dengan kepentingan mereka.
“Cikgu memang kritikal pun, tak bermakna orang kritikal itu tidak menyokong kerajaan, dia kritikal sebab dia nak tahu. Saya tidak suka orang meletakkan semua pertuduhan dan kesalahan bahawa semua cikgu ini anti kerajaan.
“Sebab itu menjadi tanggungjawab kita untuk membetulkan, beritahu apa mereka nak tahu dan masih ada masa (perbetulkan keadaan),” katanya lagi.- MalaysiaGazette