KUALA LUMPUR- PPB Group Bhd. tidak akan menaikkan harga tepung dan roti meskipun margin keuntungannya terjejas berikutan peningkatan kos tahun lalu.

Konglomerat milik Tan Sri Robert Kuok itu merancang untuk mengekalkan penguasaan pasaran dan menyedari bahawa pelbagai undang-undang baharu termasuk Akta Anti Pencatutan 2011 menyukarkan mereka untuk menaikkan harga.

“Kenaikan harga akan menjana keuntungan yang lebih baik tetapi memang mudah untuk bercakap berbanding melaksanakannya.

“Ini kerana ia akan menjejaskan hubungan kami dengan pelanggan serta terdapat orang ketiga di antara kami iaitu pesaing.

“Persekitaran ekonomi semasa amat mencabar dan menguji.

“Outlet-outlet yang mempunyai pengunjung ramai juga turut terjejas pada masa ini,” kata Pengarah Urusan FFM Bhd., Datuk Ong Hung Hock.

PPB memiliki 80 peratus kepentingan di dalam FFM.

“Kami menjana keuntungan untuk mengurangkan kos adalah dengan meminta margin yang lebih baik daripada pembekal kerana kami tidak mahu hilang daripada rak.

“Kami mahu mengekalkan pasaran supaya apabila keadaan kembali pulih kami akan mendapat manfaat dan di dalam setiap strategi pemasaran, kami mahu memastikan supaya tidak hilang penguasaan pasaran kerana sukar untuk mendapatkannya balik.

Antara produk keluaran FFM adalah roti Massimo dan tepung gandum Cap Sauh dan Bluekey.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif GSC, Koh Mei Lee berkata, perniagaan panggung wayang adalah bagus dan maasih memberi nilai tambah kepada pemegang saham.

Justeru, mereka tidak akan menjualkan perniagaan panggung wayang kepada pihak lain buat masa ini.

“Kami masih mengembangkan perniagaan di Malaysia, Vietnam dan Kemboja.

“Kami merasakan masih ada pertumbuhan yang boleh dicapai di sini.

“Memang ada pihak yang menyatakan minat tetapi saya boleh sahkan bahawa kami tidak akan menjual GSC,” tegasnya semasa sidang media selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan tersebut di sini.

Terdapat laporan tahun lalu yang mengatakan PPB sedang mencari pembeli GSC pada harga RM2.17 bilion.

Ketika itu, kumpulan tersebut berkata ia sedang mempertimbangkan pelbagai pilihan strategik kepada semua perniagaannya bagi mengoptimumkan nilai pemegang saham.

Menurut Mei Lee, operasi pangggung wayang sangat memberangsangkan dan beliau yakin GSC boleh melakukan yang lebih baik disokong pelbagai filem menarik yang bakal ditayangkan.

“Kesemua panggung wayang kami adalah menguntungkan dan kami tidak sabar untuk memasuki semula pasaran Johor menerusi pembukaan Paradigm JB,” katanya lagi.- MalaysiaGazette