KUALA LUMPUR – Semuanya bermula apabila Dazrina Che Din mencari alternatif bagi mengatasi masalah kelewatan anak sulungnya yang juga penghidap autisme untuk menulis pada usia lima tahun.

Namun tanpa disangka, tawaran hadir apabila seorang rakan yang berada di Amerika Syarikat (AS) telah memperkenalkan pensil cakar untuk digunakan oleh Nurdiana Allisya Mizan yang kini berusia enam tahun.

Hasilnya dalam masa tiga bulan sahaja, Nurdiana sudah boleh menulis dan menyalin dengan kemas dan teratur sejak menggunakan pensil tersebut pada Julai tahun lalu.

Dazrina, 37, juga menggunakan pensil kepada dua anaknya lagi yang turut mampu menulis dengan baik dan pantas.

“Pada mulanya, anak sulung saya memang tidak boleh menulis dan dia selalu memberi jari lenguh dan penat jika diberikan kerja.

“Saya pernah mencuba pelbagai kaedah termasuk mengikat gelang getah pada tangan anak agar dia boleh menulis namun masih gagal.

“Julai lalu, selepas rakan saya yang berada di AS memperkenalkan pensil cakar itu. Saya membelinya dan mencuba pada Diana termasuk dua anak yang lain,” katanya yang juga seorang bekas pekerja teknologi maklumat (IT).

_MG_9991

 

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, keistimewaan pensil cakar kerana penggunaan getah pada tiga jari tangan utama iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu.

Jelasnya, tiga jari itu akan membolehkan kelancaran menulis dan cepat mahir dalam keadaan yang selesa.

“Pensil ini turut memperbaiki cara memegang pensil dengan teknik yang betul. Getah yang digunakan itu juga dapat menolong kanak-kanak fokus pada tulisan sehingga ia nampak kemas dan cantik,” katanya.

Dazrina kini menjadi menjadi pengedar tunggal inovasi dari AS itu dalam usaha membantu kanak-kanak lain dapat menulis dengan pantas dan kemas.

“Sebenarnya, produk ini sudah dua tahun digunakan di AS oleh ahli terapi khususnya bagi kanak-kanak di tadika seawal usia setahun dalam membantu teknik memegang pensil dengan betul.

“Ia juga boleh digunakan oleh kanak-kanak normal termasuk orang dewasa yang mengalami masalah penulisan. Selain itu, getah juga boleh digunakan pada krayon dan pensil warna bagi kanak-kanak yang ingin memperbaiki kemahiran mewarna.

“Bagaimanapun, pensil cakar ini hanya digunakan sementara kerana ada kanak-kanak akan berhenti memakainya selepas mahir dan yakin untuk menulis tetapi ada juga yang masih guna ia secara berterusan,” katanya.

DSC05527

Jelas Dazrina, produk itu sudah terjual kira-kira 3,000 dalam masa satu bulan sejak dipasarkan secara meluas pada Februari lalu.

“Saya sasarkan 10,000 jualan sepanjang tahun ini kerana mula mendapat permintaan daripada kalangan ibu bapa, tenaga pengajar pra sekolah atau tadika dan pemilik tadika,” katanya penuh harap.

Sementara itu, untuk maklumat lanjut mengenai pensil cakar, orang ramai boleh hubungi talian 011-2626 1656 atau email : [email protected] dan Facebook/Instagram : @tuliscantik – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast