KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 4.6 peratus pada bulan Mac 2017 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan pada bulan Mac 2017 disokong oleh pertumbuhan positif dalam indeks pembuatan (5.9 peratus) dan perlombongan (2.0 peratus).
Walau bagaimanapun indeks elektrik menurun sebanyak 0.2 peratus, menurut kenyataan Jabatan Perangkaan.
Output sektor pembuatan meneruskan momentum pertumbuhan sebanyak 5.9% pada bulan Mac 2017 selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.6% pada bulan Februari 2017.
Subsektor utama yang mencatatkan peningkatan pada bulan Mac 2017 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (8.5 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.6 peratus); dan produk kayu, perabot, keluaran kertas, percetakan (10.3 peratus).
Manakala output sektor perlombongan mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 2.0 peratus pada bulan Mac 2017 selepas peningkatan sebanyak 0.4 peratus pada bulan Februari 2017.
Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan dalam indeks gas asli sebanyak 7.9 peratus tetapi indeks minyak mentah menurun sebanyak 2.6 peratus.
Output sektor Elektrik merosot secara marginal sebanyak 0.2 peratus pada bulan Mac 2017 selepas pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus pada bulan Februari 2017. – MalaysiaGazette