Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengetuai melaungkan "Hidup UMNO" selepas ucapannya turut serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut serta barisan Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO dan penyokong UMNO pada Majlis Sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO 71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 MEI 2017

KUALA LUMPUR –  Ahli UMNO seramai lebih tiga juta orang diingatkan agar terus mempertahankan parti keramat kaum Melayu itu hingga ke titisan darah terakhir.

Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau kini berasa semakin bersemangat dan yakin dengan perjuangan parti kerana tidak lagi berasa keseorangan.

Najib menegaskan, perasaan itu lahir disebabkan beliau kini dikelilingi pemimpin UMNO yang berdiri teguh atas dasar prinsip dan taat setia kepada pemimpin dan parti.

I am not alone. Saf pemimpin yang ada pada hari ini membuatkan UMNO tidak gentar dan gundah gulana dengan cabaran yang yang dilontarkan oleh pihak lawan untuk kita hadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan UMNO ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Sharizat Jalil dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Najib yang merupakan Presiden UMNO ketujuh berkata, parti terkuat orang Melayu itu mampu menyambut ulangtahun ke-71 dalam suasana cukup luar biasa berdasarkan empat kesimpulan.

Pertama, jelasnya, kerana UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan asas parti yang berpaksi kepada Islam, Melayu Bumiputera dan negara tercinta.

“Kedua adalah UMNO meletakkan perjuangan untuk rakyat dari dulu hingga ke hari ini.

“Seterusnya UMNO sentiasa relevan kerana perjuangan yang diamalkan sesuai dengan era pelbagai zaman.

“Akhir sekali UMNO kekal kuat hingga 71 tahun kerana mempunyai visi dan tindakan. Tidak seperti pembangkang yang tidak sehaluan namun UMNO dan rakan dalam Barisan Nasional seperti satu keluarga,” katanya.

Najib juga memuji Presiden UMNO keenam, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang turut hadir sebagai  contoh pemimpin yang setia kepada parti dan menunjukkan teladan yang baik kepada ahli.

“Namun sesungguh kita tidak duga dan sangka ada bekas pemimpin parti termasuk negarawan yang sanggup bersubahat mengkhianati UMNO.

“Beliau perangi parti kita dan jilat ludah dan cium mulut kerana agenda peribadi.

“Siapa yang ajar kita selama ini bahawa DAP adalah parti perkauman? Siapa yang didik kita DAP tanam kebencian terhadap orang Melayu dan Islam?” soalnya penuh bersemangat.

Najib juga sempat bertanya kepada hadirin lautan merah adakah ahli parti sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Sorakan gemeruh yang diterima itu membuatkan Najib berkata, beliau yakin UMNO dan BN akan menjadi pilihan rakyat lagi pada PRU14.

Sementara itu, lebih 100,00 ahli parti keramat orang Melayu itu hadir bagi mencatatkan sejarah sebagai acara sambutan ulang tahun terbesar dalam sejarah parti.

Majlis sambutan bersamaan dengan Nisfu Syaaban dimulakan dengan majlis bacaan Yaasin, doa selamat, solat maghrib dan isyak secara berjemaah sebelum program seterus dijalankan.

Ia disusuli dengan acara penyampaian hadiah Karnival Sukan dan pertandingan esei kreatif serta video pendek bersempena sambutan ulang tahun itu.

Tepat pukul 9 malam, Khairy menyempurnakan acara larian masuk bendera Sang Saka Bangsa ke dalam stadium sekali gus menamatkan acara larian bendera UMNO itu yang bermula sejak 1 Mei lalu secara serentak di Perlis, Kelantan, Johor dan Sabah.

Majlis sambutan itu juga menyaksikan  pelancaran pembangunan Menara 70 Tingkat KL Putra dan penyampaian Anugerah Tokoh Melayu Terbilang kepada tiga penerima.

Bagi menghargai kehadiran anggota parti, acara cabutan bertuah menawarkan hadiah bernilai kira-kira RM1 juta termasuk enam kereta dan 10 motosikal turut diadakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast