KUALA LUMPUR – Sebahagian pemilik strata di Ampang Park mempersoalkan sikap pihak pengurusan bangunan berkenaan yang didakwa bersekongkol dengan MRT Corporation untuk merobohkan pusat beli-belah berkenaan.
Wakil peniaga, Datuk Nik Md. Salleh Nik Jaaffar berkata, MRT Corp sebelum ini telah mengadakan rundingan dengan pihak Ampang Park Management Corporation (APMC) untuk menilai sama ada projek tersebut akan memberikan impak persekitaran dan sosial.
“Bagaimanapun APMC tidak memberitahu isi rundingan sebenar kepada semua pemilik-pemilik dan menyimpannya sebagai satu rahsia sehinggalah kami mendapat borang E (Pengambilan Tanah) pada September 2015.
“Selepas setahun baru peniaga-peniaga dapat tahu bahawa APMC telah menyembunyikan perkara ini kepada pengetahuan kami,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambah beliau, semasa peniaga menerima borang E tersebut proses pengambilan tanah Ampang Park sudah bergerak dan akhirnya pemilik-pemilik tidak ada peluang untuk membantah atau memberi sebarang cadangan kepada jawatankuasa yang terlibat dalam perbincangan tersebut.
Mengulas lanjut Nik Md Salleh menegaskan, pemilik strata yang membantah bukan sengaja mahu membawa perkara tersebut ke mahkamah sebaliknya, hanya mahukan hak dan nasib mereka mendapat pembelaan.
Sementara itu, seorang pemilik strata yang merupakan peniaga barangan kosmetik, Datuk Seri Salmah Ismail ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, mereka kini semakin tertekan dengan kemelut yang semakin memuncak itu.
Katanya, jika keadaan itu berlaku (Ampang Park dirobohkan) seramai 18 orang pekerjanya mungkin akan hilang mata pencarian ekoran beliau terpaksa menutup perniagaan.
“Saya hairan kenapa mereka mahu robohkan Ampang Park yang mempunyai nilai sentimental ini sedangkan ia merupakan salah satu daripada pusat beli belah terawal di Kuala Lumpur.
“Kalau di negara-negara lain ini, bangunan yang seperti Ampang Park ini akan mereka jaga dan dijadikan sebagai tarikan kepada pelancong.
“Kami memang berharap agar pejabat Perdana Menteri dapat campur tangan dalam isu ini,” katanya.
Seorang pemilik salun, Hong Saat Mee, 49, berkata, dia sering berdoa dan berharap agar usaha untuk merobohkan Ampang Park ini tidak akan berlaku.
Katanya, dia yang telah menguruskan salun sejak lebih 30 tahun lalu menjadikan kerjaya itu sebagai sumber pendapatan bagi menyara kehidupannya sekeluarga.
“Nak buka perniagaan salun di tempat lain kosnya memang mahal. Mana saya nak cari modal untuk mulakan bisnes di tempat yang belum tentu potensinya.
“Saya memang berharap agar apa yang mereka hendak buat tidak akan berjaya,” ujarnya.
Nasib pemilik-pemilik yang membantah cadangan untuk merobohkan Ampang Park mendapat kerjasama Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang berjuang bersama-sama membela nasib mereka.
Ikhlas telah menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri hingga mendapat reaksi positif dengan MRT Corp mendapat perintah agar rundingan diadakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi mencari langkah penyelesaian berhubung isu berkenaan. – MalaysiaGazette