KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini memutuskan untuk mengekalkan Dasar Kadar Semalaman (OPR) sebanyak tiga peratus.

Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, ekonomi global terus berkembang dengan aktiviti industri dan perdagangan yang semakin meningkat.

Pertumbuhan tersebut adalah selari dengan negara-negara maju dan pesat membangun yang lain sekali gus menjadi petunjuk bahawa unjuran masa hadapan ekonomi global akan terus pulih.

“Bagi Malaysia momentum pertumbuhan sejak separuh kedua 2016 dijangka terus mengukuh sehingga suku pertama tahun ini.

Ia dijangka kekal sebegitu sehingga akhir tahun nanti,” katanya.

Menurut Bank Negara, pertumbuhan dipacu terutamanya oleh permintaan domestik di tengah-tengah perkembangan gaji dan kadar pekerjaan selain pelaksanaan projek-projek pelaburan baharu serta yang sedang dilaksanakan.

Bagi perkembangan luar pula, penambahbaikan pertumbuhan global mendorong eksport yang lebih kukuh dan seterusnya memberi sumbangan positif kepada Malaysia.

Kadar inflasi meningkat kepada 4.3 peratus bagi suku pertama tahun ini, selari dengan jangkaan MPC.

Peningkatan inflasi disebabkan terutamanya oleh impak peningkatan harga minyak global serta gangguan sementara bekalan makanan yang menyebabkan harga makanan meningkat.

“Inflasi dijangka menyederhana pada separuh kedua tahun ini namun tetap bergantung kepada harga minyak mentah dunia.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast