Iskandar Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad menafikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengarahkan beliau dan dua lagi exco kerajaan negeri meletak jawatan.

Menurutnya, dakwaan beberapa media hari ini  tidak tepat.

Iskandar menolak dakwaan tersebut dan mengatakan mereka tidak ada menerima sebarang arahan daripada Mohamed Azmin supaya melepaskan jawatan yang dipegang mereka.

“Tidak ada sebarang arahan. Saya tidak menerima sebarang arahan,” kata Iskandar dipetik semasa ditemui wartawan ketika menghadiri persidangan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Shah Alam hari ini.

Semalam, Iskandar bersama dua lagi Exco negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib serta Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhy dipanggil Mohemad Azmin bagi memberi penjelasan mereka berhubung keputusan Majlis Syura Ulama Pas.

Mohamed Azmin semalam selepas pertemuan itu melahirkan kekecewaan dengan Keputusan Majlis Syura Ulama Pas untuk menamatkan hubungan politik dengan PKR yang disifatkan sebagai tindakan membelakangkan kehendak rakyat.

Kerajaan Selangor yang dipimpin Mohamed Azmin mempunyai komposisi exco yang sama bilangan iaitu masing-masing tiga orang daripada PKR, DAP dan PAS.

Iskandar memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dr. Ahmad Yunus menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi sementara Zaidy menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani. – MalaysiaGazette