Hashim Jasin

KUALA LUMPUR – Setelah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dan gabungan pembangkang, Pas hari ini berkata parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan tahaluf siyasi dengan UMNO pada masa akan datang.

Menurut Mursyidul Amnya, Hashim Jasin, langkah itu diambil kerana Pas sentiasa bersikap terbuka dalam sebarang rundingan, namun dengan syarat kerjasama dengan mana-mana pihak itu mesti dipimpin oleh Islam.

Jelasnya, tindak-tanduk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memimpin UMNO dengan meletakkan konsep Islam dalam pentadbiran memungkinkan perkara itu berlaku di antara kedua-dua parti.

“Kita bersedia bertahaluf siyasi bukan sahaja dengan UMNO tetapi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Parti Cinta Malaysia (PSM) yang menunjukkan minat,” katanya memetik laporan sebuah portal berita di Kepala Batas hari ini.

Pas sebelum ini turut menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Parti itu kini tidak menyertai parti pembangkang lain bersama Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PPBM, sebaliknya menubuhkan blok politik ketiga Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa). -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast