KUALA LUMPUR – Datuk Ahmad Maslan menyeru pimpinan UMNO dan kerajaan yang difitnah supaya mengambil tindakan saman terhadap pemfitnah sebagai memberi pengajaran kepada mereka.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, langkah itu bagi menghentikan penyebaran maklumat palsu dan tidak sahih yang tidak terkawal di media sosial pada masa ini.
Menurutnya, pengamal media sosial harus mempunyai etika dengan tidak menyebar luaskan perkara-perkara yang tidak diketahui secara tepat faktanya kepada masyarakat umum.
“Dengan cara ini pengamal media sosial akan dapat ditingkatkan etikanya.
“Jadi jika seseorang pemimpin itu menjadi mangsa fitnah saman sahaja orang yang memfitnah itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Etika Media Sosial (E-MAS) kali pertama di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Seminar yang berlangsung selama lima jam itu dihadiri lebih 200 peserta penggiat media sosial dari seluruh negara.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pemimpin UMNO perlu menjadikan contoh yang ditunjukkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak apabila menyaman beberapa individu pimpinan parti pembangkang yang telah memfitnah beliau.
“Sebagaimana Perdana Menteri yang menyaman Tony Pua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) setelah memviralkan ucapan dalam Youtube selepas RUU 355 dibentang oleh Hadi Awang serta Rafizi yang memfitnah mengenai harga minyak dan sebagainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Biro IT UMNO itu turut menegaskan agar jentara siber parti menyerang pihak lawan (pembangkang) dengan menggunakan fakta.
Katanya, perkara itu sangat penting bagi menunjukkan perbezaan etika dan profesionalisme tentera siber UMNO yang membuat serangan balas tanpa memfitnah sebagaimana yang dilakukan pembangkang.
“Kita jangan serang dengan fitnah tetapi kita kena serang dengan fakta.
“Memerangi jenayah media sosial ini adalah satu usaha yang amat penting dan mereka yang terlibat secara langsung perlu menjadikan ini sebagai landasan utama.
“Bagi kita di biro IT ia merupakan satu usaha yang amat penting untuk dititik beratkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette