PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan mengambil langkah memperhalusi dahulu cadangan Pas untuk bertahaluf siyasi dengan UMNO.
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, sebarang kerjasama politik dengan parti Pas mesti diperhalusi secara mendalam mengenai asas kerjasama yang ditawarkan oleh parti itu.
“Kalau asas kerjasama itu adalah untuk kita terus berjuang atas isu besar membabitkan negara yang ada kaitan dengan orang Melayu dan Islam.
“Ia tidak menjejaskan hubungan kita dengan rakan kita dalam BN, saya rasa kita boleh bincang dan terokai cadangan tersebut,” katanya kepada media selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Anugerah Perdana Belia Negara 2017 di sini hari ini.
Khairy memberikan respon demikian mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin semalam bahawa Pas sedia untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO dan mana-mana parti lain di masa akan datang.
Hashim dalam satu acara di Kepala Batas berkata, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan tahaluf siyasi dengan UMNO setelah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dan gabungan pembangkang.
Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, sebarang kerjasama dengan Pas di masa akan datang harus diteliti pucuk pimpinan parti agar kepentingan parti-parti komponen dalam BN terus terpelihara.
“Yang paling penting adalah hubungan kita dalam BN. Kita tidak mahu sebarang kerjasama dengan Pas walaupun saya anggap cadangan itu positif namun jika jejaskan hubungan kita dengan parti komponen kita dalam BN, itu kita utamakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Khairy menegaskan, BN tidak bimbang sekiranya berlaku pertembungan tiga kali penjuru di kebanyakan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada PRU-14 kelak.
Ini kerana katanya, segala persiapan bagi menghadapi PRU-14 telah siap sedia dijalankan.
“Jika berkesudahan dengan tiga penjuru, kita tidak gusar. Tapi kalau tiga penjuru segala persiapan kita telah lakukan untuk satu lawan satu. Saya percaya BN telah lakukan persiapan satu lawan satu. Jika tiga penjuru, itu tiada kaitan dengan kita.
“Berdasarkan kepada satu lawan satu, kita sudah buat segala persiapan bagi menang kawasan itu. Bagi saya tiga penjuru tidak begitu diutamakan. Kita harus andaikan itu bukan isu,” katanya lagi.
PRU-14 kelak dijangka akan melibatkan pertembungan tiga kali penjuru di hampir keseluruhan kerusi Parlimen dan DUN apabila Pas nekad untuk bertanding bersendirian dengan BN dan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette.