KUALA LUMPUR – Aktres popular, Fasha Sandha untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Glass Go Media dan mana-mana pihak ketiga kerana telah memalukan dirinya.

Fasha menegaskan, tindakan itu perlu diambil biarpun pihak penganjur majlis fenomena Aidilfitri Glass Go Media telah memohon maaf kepadanya.

“Saya tidak pernah sama sekali menulis nama sesiapa di dalam laman instagram saya @fashasandha dan hanya berkongsi tentang perasaan saya tentang apa yang terjadi pada malam tersebut, jadi tidak ada bukti saya memperkatakan keburukan mana-mana pihak sepertimana yang didakwa.

“Laman insta saya adalah untuk pengikut saya dan saya ada hak untuk menulis apa yang saya mahukan dan mana-mana pihak ketiga tidak patut terasa jika pihak ketiga tersebut tidak melakukan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fasha menjelaskan mana-mana pihak yang menyatakan bahawa dia telah memfitnah telah memburukkan dan mencemarkan jenama orang, pelakon itu akan mengeluarkan saman malu dan sedikit pun tidak takut.

Sekiranya mana-mana pihak berada di pihak benar, pengikutnya dan pelanggan jenama pihak tersebut tidak akan beralih arah. Itu adalah komen yang tidak masuk akal.

“Saya tidak gentar terhadap apa-apa kerana ini bukanlah kali pertama pihak ketiga tersebut menghantar saman terhadap saya.

“Dia juga pernah menghantar saman melalui peguamnya kepada saya tujuh tahun lalu tetapi tidak berjaya. Negara kita ada undang-undang.

“Selepas ini pihak ketiga tersebut boleh memberi sebarang penjelasan sambungan tentang perkara ini dan saya tidak akan memberikan apa-apa lagi komen tentang perkara ini lagi dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada peguam saya,” ujar Fasha.

Ibu tunggal beranak dua itu mengangap tindakan pihak ketiga itu sebagai kurang matang.

“Untuk mengelak apa-apa kemusykilan, kenyataan  ini tidak mengurangkan apa-apa hak saya di sisi undang-undang dan saya secara khusus merizabkan segala hak saya di bawah undang-undang,” katanya yang sedang bercuti bersama anak-anak dan keluarga di Australia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast