PEKAN – Penyanyi popular era 80-an Nassier Wahab dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk di Istana Abu Bakar, Pekan di sini hari ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu Memori Cinta Luka itu adalah salah seorang daripada 158 penerima darjah-darjah kebesaran dan pingat-pingat negeri Pahang yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Nassier, 55, melahirkan rasa syukur dengan anugerah yang diterimanya dan menyifatkan segala kerja keras dalam dunia seni sejak 30 tahun lalu terbalas.
Nassier berasal dari Teluk Air Tawar, Butterworth di Pulau Pinang. Kemuncak kerjayanya apabila beliau dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun 1987 dan 2004. Penyanyi yang seangkatan dengan beliau adalah Shidee, Razis Ismail dan Jamal Abdillah.
Beliau menyanyi di kelab malam di Kelab Diraja Selangor, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
Bapa kepada seorang anak ini pernah berlakon di dalam filem Si Jantung bersama A. R. Badul ,Ibrahim Din dan Faridah Fasha.
Dalam drama Episod Terakhir, beliau bergandingan dengan pelakon Eman Manan dan Sheila Rusly.
Dalam usaha untuk meningkatkan kerjayanya, beliau telah memiliki sijil Teori Muzik dan Teknologi dari Joseph Chamberlain College, Birmingham, United Kingdom (UK). – MalaysiaGazette