KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Fatwa Selangor yang bersidang akhir April lalu memutuskan hukum pelaburan dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus.
Perkembangan itu selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 2008 yang memutuskan pelaburan unit amanah ASNB serta dividen dan bonus yang diperoleh adalah harus.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam kenyataannya berkata, selain Selangor, negeri lain yang mengharuskan pelaburan ASNB ialah Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Labuan, Sabah dan Sarawak.
Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar mengucapkan terima kasih kepada Mufti Selangor dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor di atas perkembangan tersebut.
Kenyataan itu juga menyebut, Jawatankuasa Fatwa Selangor telah meminta PNB meneruskan usaha-usaha penambahbaikan bagi memastikan pelaburan tersebut menepati syarat-syarat sepenuhnya.
Keharusan hukum pelaburan ini akan dikaji semula selepas tiga tahun dengan sekurang-kurangnya peratusan pelaburan patuh syarak melebihi 75 peratus.
Abdul Wahid berkata, PNB akan menyahut ketetapan itu dan terus meningkatkan tahap patuh Syariah pelaburannya dari semasa ke semasa.
“Dengan keputusan ini, saya percaya para pelabur di Selangor lebih yakin dengan hukum pelaburan dalam unit-unit amanah ASNB,” katanya. – MalaysiaGazette