Jahara Hamid

PULAU PINANG – Pembangkang negeri ini melahirkan rasa kecewa selepas usul mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng bercuti ditolak daripada dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan.

Ketua Pembangkang negeri, Datuk Jahara Hamid berkata, penolakan usul itu menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak bertolak ansur dengan suara bantahan selain melanggar prinsip `kebebasan bersuara’ yang sering diuar-uarkan.

“Ke mana perginya kebebasan bersuara? Lihat apa yang sedang mereka lakukan. Ini bercanggah dengan pendirian mereka, ini hipokrasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Usul supaya Guan Eng bercuti itu dikemukakan untuk dibahaskan pembangkang negeri ini selepas Ketua Menteri berkenaan berdepan dua tuduhan rasuah di mahkamah bertujuan memastikan kes itu berjalan lancar.

Turut dikemukakan adalah usul meminta penjawat awam negeri ini bercuti sekiranya dibicarakan berkaitan kes jenayah selain usul menyelaraskan pencen bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Namun, usul yang dibawa bersama ADUN Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad itu juga ditolak DUN untuk dibahaskan.

Dalam pada itu, Jahara yang juga ADUN Telok Air Tawar turut melahirkan rasa kesal kerana penolakan usul tersebut menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang sudah menetapkan pendirian berhubung perkara itu sebelum bermulanya sidang DUN.

Guan Eng ketika ini berdepan dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Setiausaha Agung itu menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sidang DUN negeri ini akan bermula dengan perasmian Yang Dipertuan Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada Jumaat ini sebelum disusuli dengan perbahasan selama seminggu bermula Isnin depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast