Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali memberi penerangan kepada pelawat warga India, Amit Rohit Parekh (dua kiri) ketika menggunakan kaunter Visa On Arrival (VOA) dan Jointship KLIA di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto SAFWAN MANSOR, 16 MEI 2017

SEPANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Bahagian Visa Pas dan Permit telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan lagi kemasukan pelancong asing ke Malaysia melalui kemudahan Visa elektronik atau eVISA dalam usaha mencapai sasaran kemasukan 35 juta pelancong tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya juga telah melakukan penjenamaan semula Kaunter Visa on Arrival (VOA) dan Jointship KLIA bagi meningkatkan imej dan perkhidmatan JIM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain itu, eVISA Communication Centre (eVCOMM) juga telah diwujudkan di Ibu Pejabat JIM di Putrajaya bagi memudahkan interaksi antara pegawai di ibu pejabat dan Atase Imigirsen di luar negara.

“Ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri tentang kemudahan di KLIA di mana infrastrukturnya perlu bertaraf dunia dan antarabangsa.

“Usaha dilaksanakan adalah melalui sistem eVISA di mana satu ketetapan penambahbaikan berterusan akan dibuat oleh JIM bersama pembina sistem itu, vendor dan prasarana kemudahan di KLIA bersama dengan MAHB (Malaysia Airport Holding Berhad).

“Peningkatan bilangan pengunjung saban tahun bertambah. Pada 2016, 24 juta orang, tahun ni kerajaan menganggarkan 35 juta pelancong. Kita akan perkemaskan sistem dan baiki kemudahan termasuklah meletakkan kaunter satelit eVCOMM,” kata Mustafar.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran penjenamaan semula Kaunter Visa On Arrival (VOA) dan Jointship KLIA di KLIA hari ini.

MGF16052017_IMIGRESEN KLIA_02

Menurut Mustafar, kemudahan VOA dikeluarkan kepada rakyat negara China dan India yang datang ke Malaysia melalui tiga negara jiran iaitu Singapura, Thailand dan Indonesia.

Kaunter yang dijenamakan semula itu memberi kelebihan satu lagi kaunter tambahan berbading sebelum ini dengan proses penambahbaikan, pengubahsuaian naiktaraf kaunter berkenaan mengambil masa tiga bulan.

“Prasarananya kalau dahulu kaunter lama, dari segi digitalnya tidak mesra, sekarang setelah dinaiktaraf ia melibatkan kecekapan sistem, lebih cepat yang ada beri keselesaan kepada pengunjung.

“Ini kerana kaunter imigresen adalah barisan hadapan untuk pelancong melihat sejauh mana negara kita ketika mereka tiba,” katanya.

Sementara itu, bagi kemudahan Jointship pula diberikan kepada kelasi warga asing yang masuk melalui negara ini untuk menaiki kapal di mana mereka bekerja, apabila kapal berlabuh di Pelabuhan Klang dan Pasir Gudang.

Anak kapal dan kelasi warga asing hanya perlu menunjukkan ‘seaman book’ sebagai pelayar dan juga surat makluman dari agen perkapalan yang mengesahkan kapal tersebut berlabuh di Malaysia. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast