KUALA LUMPUR – Bukan mudah menjadi penyanyi nombor satu negara apabila setiap persembahan akan dinilai oleh peminat dunia seni.
Apatah lagi, Datuk Siti Nurhaliza telah memiliki pengalaman yang banyak selepas 20 tahun mengharungi hidup sebagai anak seni.
Namun wanita berusia 38 tahun itu tetap merendah dan tidak ego walaupun dikritik selepas melakukan kesilapan ketika membuat persembahan menyanyikan lagu terbarunya berjudul Segala Perasaan pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 3.0 sehingga menjadi tular di laman sosial.
Menerusi persembahannya, Siti dikesan tersilapĀ falsetto pada bahagian nada tinggi lagu yang baru dilancarkan dalam album SimetriSiti itu.
Pun begitu, persembahan Siti masih mendapat pujian banyak pihak terutama pengguna laman sosial lain.
Bagaimanapun Siti menerusi komen di kumpulan Sitizone di laman Facebook menerima segala kritikan yang dilemparkan dan meminta peminatnya bertenang.
“Apa pun saya gembira dapat mempersembahkan lagu baru. Bukan senang nak dapat peluang itu. Selalu orang sudah biasa lagu yang popular,” tulis Siti.
“Kesimpulannya walaupun saya penat semalam sampai tersalah sedikit ‘teran’ ketika nyanyi, ia bukan masalah besar (no big deal).
“Sebenarnya ada juga yang sama-sama berjuang dan penat untuk memastikan semuanya berjalan lancar dan membuatkan saya terus bersemangat untuk terus mempersembahkan yang terbaik,” tulis Siti berterus-terang. – MalaysiaGazette