Hilmi Yahaya

PULAU PINANG – Hanya 2.2 peratus atau 660,000 orang daripada keseluruhan 30 juta rakyat negara ini yang secara sukarela menderma darah sepanjang tahun lepas.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, angka itu sangat kecil sekali gus menyifatkan kesedaran menderma darah dalam kalangan rakyat masih rendah.

Tambah beliau, kekurangan penderma darah menyukarkan pihak hospital di seluruh negara mengumpul sekurang-kurangnya 2,000 pain darah sehari yang diperlukan bagi merawat kira-kira 1,000 pesakit.

Sehubungan itu, ujar beliau, pihaknya akan mempergiat kempen menderma darah supaya sasaran 3.5 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia terlibat dengan kempen tersebut berjaya dicapai.

“Sasaran 3.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk yang menderma darah ini juga adalah kebiasaan yang dicapai di negara maju.

“Kita juga mahu rakyat menyedari jika mereka tidak menderma darah, sel darah itu akan mati dalam masa 120 hari, jadi adalah lebih baik sekiranya mereka menderma,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program derma darah di Kolej Vokasional Balik Pulau, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau menggesa orang ramai mengambil kesempatan sebelum bermulanya bulan Ramadan untuk menderma darah.

Ini kerana, kata beliau, bekalan darah sepanjang bulan Ramadan kebiasaannya akan berkurangan sekali gus meletakkan kebanyakan hospital dalam keadaan kritikal untuk mendapatkan bekalan darah.