Wilfred Madius Tangau
PUTRAJAYA – Orang ramai tidak perlu panik dengan serangan perisian jahat atau Ransomware WannaCry yang melanda sistem rangkaian komputer di seluruh dunia.

Bagaimanapun Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika menggunakan komputer khususnya Internet.

“Jangan panik dengan situasi (serangan) kerana ia masih dalam keadaan terkawal.

“Namun orang ramai perlu berwaspada apabila menggunakan komputer, internet dan aplikasi (berasaskan Windows),” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), di sini, hari ini.

Sejak Jumaat lalu, beberapa bank, hospital dan agensi kerajaan di seluruh dunia menjadi mangsa penggodam yang mengeksploitasikan kelemahan dalam versi lama sistem operasi Windows.

Dalam situasi ancaman itu, penggodam akan menuntut wang tebusan di antara AS$300 hingga AS$600 dalam matawang maya Bitcoin.

Beliau juga berkata, orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dan mempercayai mesej-mesej yang ditular melalui laman media sosial.

“Pastikan emel yang diterima adalah sahih dan tulen sebelum klik kepada pautan, imej atau video yang tular melalui aplikasi Whatsapp, Facebook, Instagram dan Twitter,” jelasnya.

Jelasnya, kementerian dengan kerjasama Cyber Security Malaysia akan memastikan supaya ruang siber negara sentiasa selamat daripada apa juga ancaman siber.

“Semua organisasi di bawah Infrastuktur Maklumat Kritikal Negara digesa untuk terus memperkukuhkan sistem pertahan an siber bagi melindungi rangkaian komputer di organisasi masing-masing,” ujarnya.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya membuat laporan mengenai insiden keselamatan siber khususnya serangan Ransomware WannaCry kepada Cyber Security Malaysia.

“Laporan boleh dibuat melalui emel [email protected] atau di talian 1 300 88 2999,” katanya lagi. – MalaysiaGazette