Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam, Tan Sri Mohd Ali Rustam (dua kiri), Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Aminuddin Hassim (kiri) menandatangani buku panduan Penubuhan dan Pengurusan Pusat Transformasi Bandar yang dilancarkan oleh beliau pada Majlis Penghargaan Pengurusan UTC bersama Timbalan Perdana Menteri di Marina, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 17 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Pusat Transformasi Bandar (UTC) merupakan kejayaan terbesar kerajaan Malaysia dan pelaksanaan pusat seumpama itu tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan di dunia dalam memberikan perkhidmaant terbaik kepada rakyatnya.

“Tidak ada sebuah negara yang mempunyai pusat khidmat satu bumbung sebagaimana UTC yang diwujudkan di Malaysia.

“Ertinya UTC ini adalah innovator, creator yang merupakan satu produk dihasilkan di Malaysia dan berada di peringkat dunia,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penghargaan Pengurusan UTC di Putrajaya hari ini.

Sehingga hari ini sebanyak 18 UTC telah dibuka di seluruh negara dan ia telah dikunjungi oleh 41 juta pengunjung sekaligus menunjukkan penerimaan terbaik oleh rakyat.

UTC merupakan satu usaha dan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menyediakan pelbagai khidmat utama kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti bandar di pusat sehenti atau di dalam satu bangunan.

Setakat ini, terdapat 18 UTC di seluruh negara yang merekodkan seramai 46 juta pengunjung sehingga Mac lepas dan kerajaan menerima banyak cadangan daripada Anggota Parlimen untuk mewujudkan UTC di kawasan masing-masing.

Sementara itu, dalam ucapannya itu, Ahmad Zahid turut menggesa liputan mengenai UTC tidak tertumpu melibatkan media konvensional sahaja tetapi perlu diperluaskan menerusi media dalam talian dan media sosial kerana ramai yang bergantung kepada medium tersebut.

Katanya, tidak dinafikan liputan yang diberikan oleh media konvensional adalah baik bagaimanapun ia tidak sama dengan liputan media baharu sehingga ada yang tidak menghargai usaha kerajaan dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Mereka tidak mahu mengakui program ini satu transformasi, ianya adalah satu penukaran minda dan perubahan sikap yang telah dapat dilakukan oleh kerajaan.

“Saya tidak meragui liputan oleh konvensional media, tapi sesetengah kita lebih cenderung mendengar dan membaca bukan daripada konvensional media. Kepercayaan lebih diberikan kepada medium komunikasi yang tidak ada kredibiliti,” kata beliau

Ahmad Zahid juga berharap supaya Pengarah Unit Strategik Nasional Kementerian Kewangan, Datuk Dr Aminuddin Hassim dapat menimbang cadangannya itu dan mahu liputan diperluaskan menerusi media baharu.

“Saya harap Dr Amin dan rakan-rakan pengurus lain tolong dedahkan kepada media bukan konvensional,” katanya.

  • MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast