Pelakon, Datuk Rosyam Noor ketika ditemubual pada Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50 ) bersama Segmen Penggiat Seni (Budayawan) di Seri Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2017.

PUTRAJAYA – Pelakon Datuk Rosyam Noor berpendapat penerbit filem, David Teo perlu mengikut pepatah Melayu iaitu masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak.

Pepatah itu bermaksud apabila berada di tempat orang atau negara orang, kita harus ikut adab atau aturan tempat atau negara itu.

Rosyam yang menjadi moderator Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Perdana Menteri – Segmen Penggiat Seni di Seri Perdana sini semalam berkata, sesiapa sahaja yang memahami pepatah itu akan menjadikan majlis berjalan lancar dan sempurna.

“Perdana menteri beritahu beliau suka cara saya kendali dialog itu dan juga idea-idea daripada penggiat seni

“Cuma saya agak celaru kerana insiden itu tidak sepatut berlaku kerana kita diberi peluang berdialog oleh pemimpin nombor satu negara.

“Bila dia (David) bertindak begitu (pertikai cara kendali majlis), nasib saya boleh tahan kemarahan.

“Tapi bila habis majlis, saya fikir majlis ini untuk anak seni dan panggil mereka berdua untuk mendamaikan keadaan,” katanya.

Beliau diminta mengulas insiden David dilempang oleh pelakon Mat Over pada Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri – Segmen Penggiat Seni di Seri Perdana sini semalam di hadapan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datuk Seri Rosmah Mansor.

Insiden bermula apabila David dilihat membuat provokasi terhadap Rosyam yang didakwanya tidak adil dalam memberi peluang kepada penggiat seni melontar idea dan hanya memilih peserta di bahagian hadapan sahaja.

Mengulas lanjut, Rosyan mengakui sedikit kecewa dengan insiden yang berlaku.

Ditanya bagaimana beliau dilihat masih tenang ketika insiden berlaku, Rosyam bersyukur pengalaman dalam dunia seni mematangkan dirinya pada hari ini.

“Saya bukan baru jadi pengcara dan sudah lama dalam dunia seni.

“Syukur kepada Allah swt  bagi kematangan dalam diri walaupun orang lain belum tentu dapat menanganinya.

“Namun saya tidak kata saya adalah seorang pengacara yang bagus,” katanya yang tidak melakukan persiapan rapi untuk menjadi moderator dan memberitahu penganjur lebih awal ingin mengendalikan majlis itu secara santai.

Pada majlis itu, ramai yang kagum dengan kepetahan Rosyam menjadi moderator dan tampil dengan input yang menarik dalam pengisiannya bersoal jawab dengan Najib dan peserta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast