KUALA LUMPUR – Sekumpulan NGO hari ini menggesa supaya penerbit filem tanah air, David Teo membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Presiden Gabungan Memertabatkan Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, permohonan maaf tersebut berikutan ‘kebiadaban’ David ketika berada di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam program Transformasi Nasional 2050 malam tadi.
“Kita tak perlu orang macam ni (David) jadi, kita gesa David mestilah memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana telah biadap di program PM, kerana PM mewakili semua rakyat Malaysia,” katanya.
Kumpulan tersebut memberi tempoh selama tiga hari kepada David untuk memohon maaf, atau bakal berhadapan dengan bantahan daripada NGO tersebut.
Ditanya tindakan Mat Over yang menampar David di hadapan Najib, beliau berkata, keputusan Mat Over itu adalah wajar kerana ia boleh mengelak perkara yang lebih teruk.
“Pada pandangan saya, ianya wajar (menampar). Kalau Mat Over tak buat macam tu, apa akan jadi? Ia akan jadi panjang, nanti orang lain pula yang buat seperti David,” jelas beliau.
Sesi dialog TN50 antara Najib dan 400 anak seni di Seri Perdana, Putrajaya kecoh gara-gara Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over menampar David di hadapan Perdana Menteri.
Insiden berlaku apabila David dikatakan tidak berpuas hati cara Rosyam or mengendalikan majlis sebagai moderator.
Sesi berkenaan disiarkan secara langsung dalam Facebook rasmi Najib. – MalaysiaGazette