Sekumpulan daripada kira-kira 100 ahli Perkasa Johor mengadakan demonstrasi aman selepas solat Jumaat hari ini.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan kira-kira 100 ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Johor mengadakan demonstrasi aman membantah kebiadapan Bendahari Agung MIC, Datuk Vell Paari.

Demonstrasi yang turut dihadiri Yang Dipertua Perkasa Johor, Mohd Ghauth Yussuf diadakan di pekarangan Masjid Taman Yayasan, Jalan Segamat selepas selesai solat Jumaat kira-kira jam 2 petang tadi.

Kumpulan itu membantah kenyataan Vell Paari dan beberapa aktivis MIC menghina Dr. Zakir Naik dengan tuduhan penceramah bebas antarabangsa itu ada hubungan dengan pengganas IS.

“Tuduhan ini sangat biadab terhadap Dr. Zakir dan turut menghina Perkasa yang menjadi pencelah dalam kes penceramah antarabangsa itu di mahkamah,” katanya dalam kenyataan kepada di sini, hari ini.

Menurut Mohd Ghauth, Perkasa Johor menuntut Vell Paari dan beberapa pemimpin MIC yang lain memohon maaf secara terbuka kepada pertubuhan itu dan Dr. Zakir Naik jika tidak mahu perasaan benci orang Melayu terhadap parti tersebut berpanjangan.

Baru-baru ini, pemimpin MIC itu dilaporkan membuat kenyataan menggesa penangkapan dan pengusiran Dr. Zakir Naik berikutan permintaan kerajaan India dengan Notis Merah Interpol terhadap pendakwah tersohor yang telah mengalahkan sami-sami Hindu dalam debat dengan mereka.

Vell Paari turut dilapor menyatakan, mahkamah India telah menuduh Dr. Zakir Naik dan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Selain itu, beliau juga mendakwa, siasatan India mendedahkan rangkaian Dr. Zakir Naik dengan ISIS dan pengaruh ajarannya ke atas suspek yang terlibat dalam serangan pengganas di Bangladesh menunjukkan penceramah bebas antarabangsa itu adalah ancaman kepada Malaysia. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast