AMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata UMNO akan terus membela nasib rakyat bagi memastikan segala pembangunan terus dirasai rakyat di negara ini.
Jelasnya, UMNO sudah banyak berjasa kepada rakyat di negara ini dan disebabkan itulah UMNO terus diberikan mandat untuk mentadbir negara bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).
“Kita kena susun peringkat akar umbi samada bandar, pinggiran bandar dan luar bandar. Kita masuk rumah dan ketuk pintu.
“Kita bantu dan bagi sumbangan dan mereka akan tahu pembangkang cuma cakap dan buat tidak boleh. Tidak ada agenda dan jasa. UMNO ada jasa dan budi sebab itu Allah bagi kemenangan kepada UMNO,” katanya ketika melancarkan program UMNO Bantu Rakyat di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas hari ini.
Program UMNO Bantu Rakyat akan bergerak menerusi fasa satu ke seluruh pelusuk negara bermula di Perak dan berakhir di Terengganu penghujung bulan ini.
Manakala fasa kedua siri jelajah akan menjelajah ke lebih 50 kawasan tumpuan di seluruh negara.
Dijangka lebih 300,000 rakyat di peringkat akar umbi akan terlibat dalam siri jelajah berkenaan.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar serta Pengerusi Badan Kebajikan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
UMNO yang menjadi tunjang kepada BN katanya, akan meneruskan usaha bagi memastikan tampuk pemerintahan negara dikuasai oleh BN.
Malah katanya tiada parti politik yang cukup konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat sejak 71 tahun lalu.
“Kita akan teruskan perjuangan kita, orang akan menilai dan masa depan akan lebih terjamin sekiranya UMNO memerintah,” katanya.
Tambah Presiden UMNO, parti itu tidak pernah menghampakan rakyat dengan memberikan yang terbaik terutamanya dalam bantuan pendidikan, perubatan dan perumahan yang jelas memberikan kebaikan kepada rakyat.
“Saya boleh bagi banyak contoh. Banyak bantuan kerajaan yang ditunjangi UMNO maka kita boleh lihat sebut sahaja dalam bidang pendidikan kita boleh kata bahawa pendidikan percuma di sekolah rendah dan menengah,” jelas Najib.
Lebih 5,000 ahli UMNO seluruh Selangor hadir dalam program malam ini. – MalaysiaGazette